Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Rahim Kasdi berucap pada Pesta Makanan Melayu Malaysia - Aceh 2025 di TBG Mall, Selangor. Foto SADIQ SANI, 31 OKTOBER 2025

KUALA LUMPUR – Masyarakat Melayu di Malaysia dan Indonesia adalah serumpun kerana memiliki banyak persamaan dari sudut akar budaya, sejarah, bahasa, agama dan keturunan.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Rahim Kasdi berkata, Selera Serumpun Pesta Makanan Melayu Malaysia dan Aceh adalah permulaan untuk merapatkan hubungan bermula dengan makanan tradisi dan perdagangan dua hala.

“Sebenarnya ada program ini sebagai permulaan untuk mengadakan perdagangan antara Malaysia dan Indonesia, malah kita punya yang sejarah panjang sejak zaman Kerajaan Aceh dengan Kerajaan Islam.

“Kita lihat disebabkan persamaan bentuk atau jenis makanan dari dua negara ini boleh dijadikan satu platform asal untuk menyemarakkan perkembangan ekonomi daripada kedua-dua pihak.

“Kita lihat tadi ada beberapa tanami random di antara beberapa syarikat yang melibatkan industri pemakanan dan juga industri pelancongan.

“Sebentar tadi kita ada lihat beberapa Perjanjian Persefahaman (MoU) melibatkan beberapa syarikat, baik industri makanan mahupun pelancongan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Terminal Bersepadu Gombak, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau mewakili Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari merasmikan Selera Serumpun Pesta Makanan Melayu Malaysia & Aceh.

Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Rahim Kasdi menyaksikan penyerahan memorandum persefahaman daripada Timbalan Gabenor Aceh, Fadhlullah kepada Chef Zainal Saad pada Pesta Makanan Melayu Malaysia – Aceh 2025 di TBG Mall, Selangor. Foto SADIQ SANI, 31 OKTOBER 2025

Turut hadir Timbalan Gabenor Aceh, Fadhlullah S.E.

Menurut Rahim, aktiviti perdagangan antara Malaysia dan Aceh bukan perkara baharu bahkan perdagangan dan kerjasama sudah berlangsung sejak sekian lama.

“Tapi kali ini mereka ingin lakukan dengan sokongan daripada kerajaan masing-masing, sebab itu Timbalan Gabenor Aceh sudi hadir pada majlis hari ini.

“Mereka minta program ini dirasmikan Menteri Besar, namun beliau ada urusan yang tidak dapat dielakkan.

“Saya rasa selepas ada akan ada pertemuan antara Gabenor Aceh dengan Menteri Besar Selangor untuk melihat perdagangan yang lebih besar, bukan hanya makanan, bahkan lain-lain lagi,” katanya.

Orang ramai mengambil peluang untuk merasai keunikan makanan asli Aceh yang dijual pada Pesta Makanan Melayu Malaysia – Aceh 2025 di TBG Mall, Selangor. Foto SADIQ SANI, 31 OKTOBER 2025

Kata Rahim, ketika ini perdagangan antara Selangor dan Aceh lebih kepada makanan dan produk berskala kecil untuk memenuhi keperluan atas hubungan kekeluargaan.

“Nilai dagangan bagi makanan daripada kedua-dua pihak banyak persamaan dan kepelbagaiannya, kita tidak mempunyai nilai yang sebenar kerana ia dilakukan atas hubungan keluarga dan nusantara,” katanya.

Antara produk makanan asli Aceh yang dijual pada Pesta Makanan Melayu Malaysia – Aceh 2025 di TBG Mall, Selangor. Foto SADIQ SANI, 31 OKTOBER 2025

Selain itu, kerajaan negeri tidak menafikan hubungan dagangan Selangor-Aceh boleh dilihat menerusi rangkaian kedai runcit yang banyak berkembang khususnya di negeri ini.

“Kalau kita lihat, orang Aceh ini terkenal dengan perniagaan runcitnya, itu pun kerajaan negeri dalam proses untuk menghalalkannya.

“Dekat Selangor khususnya kedai runcit Aceh ini ada di merata tempat, tapi masih tidak diiktiraf pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sebagai. Jadi Dewan Perniagaan Serumpun Malaysia-Aceh memang berhasrat ke arah itu,” katanya.

Katanya, Selangor-Aceh mempunyai hubungan tradisional sejak sekian lama, kerajaan negeri akan memanfaatkan peluang itu meningkatkan peluang ekonomi masing-masing.

“Untuk ekonomi Selangor perlu ada (main peranan), sebab ia sudah jadi macam hubungan tradisional, bukan hubungan rasmi kedua-dua negeri, lebih kepada keakraban masyarakatnya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast