KOTA TINGGI – Kerajaan Johor mengambil tindakan segera susulan pencemaran air mentah di lembangan Sungai Johor, di sini, hari ini bagi memastikan bekalan air di kawasan berkenaan tidak terjejas.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, antaranya meningkatkan pelepasan air dari Empangan Linggiu bagi tujuan pencairan untuk mengurangkan tahap kekeruhan air di Sungai Johor.
“Begitu juga penghantaran bekalan air alternatif melalui lori tangki ke kawasan terjejas bagi memenuhi keperluan pengguna sementara kerja-kerja pemulihan dijalankan.
“Kerajaan negeri menasihatkan semua penduduk di kawasan yang terlibat untuk menyimpan air secukupnya dan menggunakannya secara berhemah sehingga bekalan kembali pulih sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu portal ini melaporkan sungai berkenaan tercemar apabila berwarna putih susu sekali gus menjejaskan aktiviti 150 nelayan di sepanjang ulu Sungai Johor.
Pengerusi Jaringan Perikanan Masyarakat Orang Asli Parlimen Tenggara, Jasni Amat, 48, dilaporkan berkata, pencemaran terbaharu itu disedari penduduk sejak pukul 3 pagi tadi.
“Akibatnya kumpulan nelayan tidak dapat ke sungai kerana khuatir hasil tangkapan tidak selamat dimakan selain peralatan penangkapan ikan dan bot mengalami kerosakan akibat pencemaran sepanjang 20 hingga 30 kilometer,” ujar Jasni.
Mengulas lanjut, Mohamad Fazli berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca daripada aktiviti perlombongan pasir darat oleh sebuah syarikat tempatan.
Jelasnya, semasa aktiviti itu dijalankan kolam cucian pasir keenam pecah akibat pergerakan tanah.
Katanya, pemantauan sudah dilakukan Badan Kawal Selia Air Johor (Bakaj), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Ranhill SAJ.
“Disahkan bahawa paras kekeruhan air meningkat sehingga 37,400 NTU, jauh melebihi paras normal sekitar 400 NTU,” ujarnya.
Perkembangan itu katanya, berisiko menjejaskan operasi beberapa loji rawatan air (LRA) iaitu LRA Linggiu, LRA Semangar, LRA Sungai Johor dan LRA PUB Singapura.
“Beberapa kawasan di Kota Tinggi, Johor Bahru, Pontian dan Kulai dijangka akan mengalami gangguan sementara bekalan air tidak terancang,” tambahnya.
Beliau memberitahu, khususnya sebahagian kawasan Senai dan Skudai selain Seelong, Felda Linggiu, Petri Jaya dan Lima Kedai.
“Kerajaan Negeri Johor memandang serius insiden ini dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang bertanggungjawab menyebabkan pencemaran sumber air negeri.
“Semua agensi teknikal kini bekerja secara bersepadu dan pantas bagi memastikan usaha pemulihan dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat,” katanya. – MalaysiaGazette
















