Para pengunjung menyertai aktiviti setelah mendapat penerangan-berkenaan minyak masak.

KUALA LUMPUR – Sekumpulan pensyarah, pelajar pascasiswazah dan staf pelaksana dari Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM) telah menjayakan program komuniti di bawah inisiatif CAKnA (Citra Akademik untuk Komuniti dan Alam) bagi  mendidik penduduk luar bandar tentang cara mengitar semula minyak masak terpakai kepada sabun buatan tangan yang mesra alam dan bernilai komersial.

Program bertajuk “Kelestarian, Kesihatan dan Keusahawanan (3K): Transformasi Sisa kepada Produk Bermanfaat untuk Komuniti Luar Bandar” ini diadakan sempena Pesta Sukan Bendang Antarabangsa dengan penglibatan penduduk kampung dan pelajar sekolah.

“Kami ingin mendidik masyarakat bahawa minyak masak terpakai bukan sekadar sisa buangan, tetapi boleh ditukar menjadi produk berguna seperti sabun.

“Dengan sedikit pengetahuan sains dan kaedah yang betul, amalan ini bukan sahaja menjimatkan tetapi juga menyumbang kepada kelestarian alam sekitar,” jelas Professor Madya Dr. Siti Nadiah Abdul Halim, ketua projek CAKnA.

Suasana di sekitar kawasan pameran.

Melalui bengkel interaktif yang dijalankan, peserta didedahkan kepada kaedah menapis dan mengendalikan minyak masak terpakai dengan betul, termasuk langkah-langkah keselamatan serta proses asas pembuatan sabun menggunakan bahan yang mudah diperoleh dan selamat digunakan.

Aktiviti ini turut dilengkapkan dengan sesi kesedaran mengenai pemilihan minyak masak yang sesuai mengikut jenis masakan, cara menilai kualiti minyak sebelum digunakan semula, serta amalan penggunaan minyak masak yang betul dan sihat.

Menariknya, hasil pemerhatian pasukan penyelidik mendapati,  tahap kesedaran penduduk kampung terhadap pengurusan sisa minyak masak berada pada tahap yang baik.

Barisan pensyarah, staf pelaksana dan pelajar pascasiswazah yang menjayakan program CAKnA.

Ramai yang sudah maklum tentang bahaya pembuangan minyak ke dalam sinki dan mengamalkan cara pelupusan yang lebih bertanggungjawab.

“Kami kagum dengan kesedaran yang telah wujud dalam kalangan penduduk kampung. Apa yang kami lakukan ialah menambah nilai melalui ilmu sains supaya mereka lebih memahami aspek keselamatan, kesihatan dan peluang keusahawanan yang boleh dibangunkan,” kata Dr.
Noordini Mohamad Salleh, penyelidik bersama yang berpengalaman dalam bidang oleokimia.

Program ini turut disertai oleh Profesor Madya Dr. Tan Kong Wai, Dr. Nazzatusshimar, Dr. Siti Jariani dan Dr. Arniza Khairani dari Jabatan Kimia, Fakulti Sains UM, bersama-sama pelajar pascasiswazah yang memainkan peranan penting dalam aktiviti demonstrasi, fasilitasi bengkel, dan interaksi bersama komuniti.

Penglibatan pelajar ini bukan sahaja memberi peluang untuk mereka berkongsi ilmu sains secara langsung, malah turut memperkenalkan mereka, khususnya pelajar antarabangsa kepada budaya dan kehidupan masyarakat kampung di Kedah yang kaya dengan nilai kekitaan dan semangat gotong-royong.

“Program seperti ini memberi ruang kepada pelajar kami untuk berkongsi ilmu danmendekatkan mereka dengan realiti sosial dan budaya tempatan. Ia satu pengalaman pembelajaran yang holistik,” tambah  Dr. Siti Nadiah. – MAlaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast