KUALA LANGAT – Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun maut manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal di Kilometer 7.3, Lebuh Raya Persisiran Pantai Barat (WCE) menghala ke Bandar Saujana Putra malam tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supritendan Mohd Akmal Rizal Radzi, kemalangan berlaku apabila penunggang motosikal Yamaha Y15ZR tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan jatuh di lorong kiri.
“Pada masa sama, sebuah motorsikal Yamaha LC135 yang datang dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar motorsikal terbabit.
“Ini menyebabkan penunggang LC135 berkenaan tercampak di permukaan jalan di lorong kiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohd Akmal, akibat daripada pelanggaran itu, penunggang Yamaha Y15ZR mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi.
Manakala bagi penunggang Yamaha LC135 pula cedera di bahagian kepala dan telah dibawa ke Hospital Banting untuk rawatan lanjut.
Mohd Akmal Rizal berkata, kedua-dua mangsa merupakan pelajar kolej berusia 17 tahun serta memiliki lesen memandu yang sah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 keranan memandu secara melulu atau membahayakan pengguna jalan raya.
Beliau turut meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Sohairi Manaf di talian 03-3187 222 atau 019-9993077, atau hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. -MalaysiaGazette
















