Peter Chin Fah Kui (kiri) menyampaikan Hadiah Live Animals Medical Centre kepada Graduan Terbaik Bacelor, Clayrieysia Samantha Michael Solomon pada Majlis Konvokesyen UPM ke-49 Sidang 1, di sini, hari ini.

BINTULU – Universiti bukan sekadar tempat menimba ilmu, tetapi medan penting membentuk jati diri dan menyerlah potensi pelajar agar mereka bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga unggul dalam kepimpinan dan kokurikulum.

Pro Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Tan Sri Peter Chin Fah Kui berkata, pembangunan holistik yang diterapkan sepanjang tempoh pengajian di universiti menjadi asas penting dalam melahirkan graduan berdaya saing, berintegriti dan berpemikiran global.

“Kecemerlangan graduan tidak diukur semata-mata melalui pencapaian akademik, tetapi melalui kemampuan mereka memimpin, berkomunikasi dengan berkesan dan berbakti kepada masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen UPM ke-49 Sidang Satu yang diadakan di Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPM Sarawak).

Peter turut menekankan kepentingan nilai murni dan integriti, sambil mengingatkan graduan agar menjadi duta yang menjaga nama baik universiti.

“Sebagai alumni, anda membawa bersama nama universiti ini, jadilah insan yang berilmu, beretika dan berbakti kerana itulah lambang sebenar kecemerlangan seorang graduan UPM,” ujarnya.

Di samping itu, beliau juga turut merakamkan penghargaan terhadap Yayasan Sarawak terhadap komitmenya menaja pelajar dalam Program Persediaan Diploma Sains dengan sumbangan kira-kira RM200,000 setiap tahun.

Menurut beliau, sumbangan yang diagihkan ini meliputi kos yuran pengajian, sara hidup dan kelas tambahan yang dihadiri oleh pelajar di UPM Sarawak.

Dalam ucapannya, beliau turut menyeru supaya para graduan melunaskan pinjaman pendidikan sebagai tanda tanggungjawab dan amanah moral terhadap peluang yang diberikan.

“Budaya ini perlu dikekalkan kerana ia mencerminkan keperibadian unggul graduan, selain membantu generasi masa depan menikmati kemudahan pendidikan yang sama,” katanya.

Majlis itu menyaksikan sebanyak 556 graduan menerima ijazah dan diploma, termasuk graduan sulung bagi program Bacelor Sains Kimia Perindustrian dengan Kepujian dan Diploma Pengurusan Perniagaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast