Fadhlina.

GEORGE TOWN – Soal keselamatan murid di sekolah menjadi tanggungjawab penuh Kementerian Pendidikan (KPM), meskipun siasatan polis terhadap kes kematian seorang murid di Negeri Sembilan baru-baru ini diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya melihat aspek keselamatan sebagai tanggungjawab utama yang tidak boleh dipandang ringan.

“Saya fikir walaupun siasatan polis menyebut NFA, tapi tidak bagi KPM kerana tanggungjawab dan soal keselamatan anak-anak di sekolah itu adalah tanggungjawab penuh KPM.

“Malah, sebaik kejadian itu berlaku, KPM mengambil langkah progresif dengan meneliti semula aspek keselamatan di semua sekolah termasuk infrastruktur dan penyelenggaraan.

“Kita telah mengambil sikap yang sangat progresif dalam memastikan soal-soal keselamatan ini mesti diberikan keutamaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Wacana Fikrah Siddiq Fadzil bersempena Muktamar Wadah negeri Pulau Pinang di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pulau Pinang di sini.

Tambah Fadhlina, pelbagai langkah penambahbaikan telah diambil bagi memperkukuh keselamatan di kawasan sekolah termasuk pemantauan kawasan berisiko dan penyelenggaraan berterusan.

“Penyelenggaraan juga aspek yang sangat penting yang pentadbir harus komited dan ambil maklum dengan segera, termasuk menambah baik aspek keselamatan serta fasiliti di sekolah.

“Saya juga telah bercakap dengan pihak JKR, pihak keselamatan dan juga pihak sekolah secara keseluruhannya, bukan sekolah yang terbabit saja.

“Justeru kita berharap semua pentadbir sekolah memberi perhatian sepenuhnya terhadap pelaksanaan langkah-langkah keselamatan bagi memastikan kesejahteraan murid terus terjamin,” katanya.

Dalam kejadian pada 27 September lalu, seorang murid darjah tiga maut selepas terjatuh ke dalam saluran kumbahan di sebuah sekolah di Lenggeng, Nilai di Negeri Sembilan kira-kira jam 10 pagi.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad semalam dilaporkan berkata, kes tersebut diklasfikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) setakat ini susulan siasatan terperinci mendapati insiden itu merupakan kemalangan dan tiada unsur jenayah atau penglibatan mana-mana pihak dikesan.

Sebelum ini kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001. Siasatan kemudian diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya sebelum ia dikategorikan sebagai NFA.

“Daripada siasatan, kami berpuas hati bahawa kes itu adalah satu kemalangan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast