SHAH ALAM – Ahli Dewan Negeri (ADUN) Selangor dicabar untuk menyatakan pendirian jelas sama ada masih setia kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin atau kini sudah beralih arah kepada Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Ketua Penerangan Keadilan Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, perkembangan terbaharu yang menyaksikan majoriti Ahli Parlimen Bersatu menyokong Hamzah memberi isyarat besar bahawa parti itu sedang berdepan krisis kepimpinan yang serius.
“Kalau 16 Ahli Parlimen Bersatu (tidak termasuk tiga Ahli Parlimen lagi iaitu Hamzah sendiri, Wan Ahmad Fayhsal dan Wan Saiful) sudah menunjukkan sokongan kepada Hamzah, maka persoalannya ke mana hala tuju ADUN Bersatu di Selangor selepas ini?” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Beliau menambah, tindakan tersebut dianggap sebagai kemenangan moral kepada kem Hamzah Zainuddin, selepas sebelum ini tular bahawa 120 Ketua Bahagian Bersatu turut memihak kepadanya, berbanding 82 yang masih bersama Muhyiddin.
Saifuddin berkata, situasi ini menimbulkan tanda tanya besar terhadap kedudukan ADUN Bersatu di Selangor, khususnya Dr. Afif Bahardin dan Muhammad Hilman Idham, dua tokoh yang dikenali rapat dengan Datuk Seri Azmin Ali.
“Adakah mereka masih mahu terus mendokong kepimpinan Muhyiddin atau mula beralih kepada Hamzah? Rakyat dan penyokong mereka berhak tahu supaya jentera di kawasan masing-masing tidak terumbang-ambing,” tegas beliau.
Saifuddin yang juga Timbalan Setiausaha Agung Keadilan turut mempersoalkan nasib baki lapan ADUN Bersatu lain, selepas Datuk Rashid Asari dipecat kerana menyatakan sokongan kepada kerajaan pimpinan Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau menegaskan, jelas berlaku kekeliruan dalaman dalam Bersatu Selangor yang boleh menjejaskan hala tuju Perikatan Nasional (PN) negeri itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Kalau benar Hamzah akan mengambil alih sebelum PRU16, maka watikah calon nanti ditandatangani oleh presiden baharu. Jadi, setiap ADUN Bersatu perlu fikir jauh ke depan,” katanya.
Dalam masa sama, Saifuddin berpandangan PAS Selangor wajar mengambil kesempatan daripada pergolakan ini untuk menilai semula kedudukan Azmin Ali sebagai Ketua Pembangkang.
“Melihat kepada kestabilan PAS, kekuatan akar umbi dan kesatuan wakil rakyat mereka, saya fikir sudah tiba masanya Datuk Dr Halim Tamuri diberikan peranan lebih besar termasuk jawatan Pengerusi PN Selangor,” ujar beliau.
Saifuddin turut menyindir sikap segelintir pemimpin Bersatu yang menurutnya lebih gemar “main selamat”.
“Kalau saya, mudah dan jelas. Tapi saya tidak tahu sama ada PAS berani mengambil langkah ke depan, atau sekadar ‘mengepit induk ayam’ takut dalam setiap keadaan. Main selamat, bak kata orang kampung,” katanya sinis.
Beliau berkata, kekeliruan dalam kem Bersatu Selangor bukan lagi rahsia, malah menjadi bukti bahawa parti itu kehilangan hala tuju selepas kejatuhan kerajaan PN di peringkat pusat. – MalaysiaGazette
















