Foto: FB Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR – Kejohanan sukan tempur, Warzone World Championship (WWC) tidak mendapat kelulusan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, sebarang penganjuran sukan khususnya yang melibatkan penyertaan antarabangsa perlu mendapat kelulusan daripada Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) selaras dengan Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576].

Sehubungan itu KBS menasihatkan semua pihak agar mematuhi peraturan bagi menjamin integriti dan keselamatan sukan negara.

“Bagi sebarang penganjuran acara sukan antarabangsa yang tidak mendapatkan kelulusan PJS, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 36, Akta 576,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau malam tadi.

Terdahulu, tular di laman sosial video sidang media kejohanan WWC itu yang memaparkan aksi dua kanak-kanak dipercayai peserta sukan tempur tersebut yang terlibat dalam aksi kekerasan.

Aksi ketika sesi pengenalan peserta itu yang didakwa sebagai gimik penganjuran kejohanan tersebut mengundang kecaman pelbagai pihak kerana disifatkan tidak sesuai dan mempromosikan kepada budaya keganasan.

Malah pelbagai pihak juga menggesa pihak berkuasa dan pihak berwajib menjalankan siasatan lanjut serta mengambil tindakan tegas terhadap penganjur.

Difahamkan, acara WWC itu yang menampilkan sukan tempur Muay Thai dan tinju dijadualkan berlangsung pada 6 dan 7 Disember ini di N9 Arena, Negeri Sembilan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast