Tular rakaman keganasan pengganas RSF ke atas seorang ibu dan anak-anaknya di selatan Sudan.

KUALA LUMPUR – Malaysia menyeru supaya keganasan di El Fasher dan seluruh Darfur, Sudan dihentikan serta-merta dan orang awam dilindungi sepenuhnya selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, kata Perdana Menteri.

Sambil melahirkan rasa amat bimbang dengan konflik di negara itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dunia sedang menyaksikan satu bencana kemanusiaan iaitu pembunuhan beramai-ramai, kebuluran dan perpindahan penduduk dalam skala yang mengejutkan.

Laporan mengenai kekejaman yang mungkin menjurus kepada jenayah terhadap kemanusiaan, malah genosid adalah sesuatu yang tidak dapat diterima, katanya.

“Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Sudan dan menggesa masyarakat antarabangsa untuk bertindak tegas bagi mengelakkan penderitaan yang lebih besar, memulihkan akses kemanusiaan serta menyokong satu proses yang adil ke arah keamanan dan kebertanggungjawaban,” katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini.

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan, ribuan orang awam dipercayai terperangkap dan berdepan bahaya besar di El-Fasher selepas bandar itu jatuh ke tangan pasukan separa tentera (RSF) dengan ramai pemerhati menyifatkan keadaan di sana sebagai ‘amat mengerikan’.

Sejak kejatuhan bandar itu, pelbagai laporan menyebut berlakunya pembunuhan tanpa bicara dan keganasan seksual terhadap orang awam, selain serangan terhadap petugas bantuan, rompakan dan penculikan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula memaklumkan lebih 65,000 penduduk melarikan diri dari El-Fasher sejak konflik tercetus, dengan puluhan ribu lagi masih terperangkap. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast