Dua kanak-kanak berbasikal yang dihiasi penuh dengan Jalur Gemilang melambangkan semangat kemerdekaan yang diwarisi generasi muda ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 di Klang, Selangor. Foto MUHAIMIN MARWAN, 27 OGOS 2025

MENJAGA perpaduan dan keseimbangan sosial menjadi tanggungjawab bersama demi Malaysia yang aman dan makmur. Keharmonian merupakan asas yang penting dalam memastikan kestabilan, kemajuan dan kesejahteraan sesebuah negara. Dalam konteks Malaysia yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya, usaha mengekalkan keharmonian perlu menjadi agenda bersama seluruh rakyat dan kerajaan.

Tanpa keharmonian, segala perancangan pembangunan negara akan tergugat kerana kestabilan sosial adalah asas kepada kemajuan ekonomi dan politik. Antara faktor utama yang menyumbang kepada keharmonian ialah sikap toleransi dan hormat-menghormati.

Masyarakat yang mampu menerima perbezaan dan hidup dalam semangat saling memahami akan mewujudkan suasana aman serta mengurangkan jurang perkauman. Toleransi menjadikan rakyat lebih terbuka terhadap kepelbagaian budaya dan kepercayaan, sekali gus mengukuhkan jalinan sosial antara masyarakat.

Dalam kehidupan seharian, amalan mudah seperti menghormati adat berjiran yang berlainan kaum atau meraikan perayaan bersama dapat menyemai rasa hormat dan kasih sayang sesama rakyat. Selain itu, pendidikan dan penerapan nilai sivik memainkan peranan besar dalam membentuk masyarakat yang berilmu dan berakhlak.

Sistem pendidikan bukan sahaja berfungsi menyampaikan ilmu, tetapi juga bertanggungjawab melahirkan warganegara yang memahami erti perpaduan. Penerapan nilai seperti kasih sayang, tanggungjawab sosial, kerjasama dan semangat cintakan negara perlu diterapkan sejak di bangku sekolah.

Kurikulum yang menekankan aktiviti kokurikulum berasaskan perpaduan serta program sekolah pelbagai kaum dapat mengukuhkan rasa kekitaan dan identiti nasional. Seterusnya, tidak kurang penting ialah keadilan sosial dan ekonomi. Peluang yang terbuka dalam bidang pekerjaan, pendidikan dan kemudahan awam akan mengelakkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat.

Apabila semua lapisan masyarakat merasakan mereka diberi
layanan adil tanpa mengira bangsa atau agama, semangat patriotisme akan semakin meningkat. Keadilan yang dilaksanakan secara menyeluruh bukan sahaja memperkukuh kepercayaan terhadap sistem pentadbiran negara, malah menimbulkan rasa tanggungjawab bersama dalam menjaga keamanan dan kestabilan.

Di samping itu, kepimpinan berintegriti dan berwawasan turut menjadi tunjang kepada keharmonian nasional. Pemimpin yang adil, telus dan prihatin terhadap kepelbagaian rakyat mampu menjadi contoh kepada masyarakat. Kepimpinan yang menekankan nilai perpaduan serta menolak sebarang bentuk diskriminasi akan membina keyakinan rakyat terhadap hala tuju negara.

Kepimpinan yang berwibawa juga berupaya menyatukan rakyat melalui dasar-dasar pembangunan inklusif yang memberi manfaat kepada semua kaum.  Kesimpulannya, keharmonian negara tidak dapat dicapai tanpa penglibatan semua pihak.

Nilai toleransi, pendidikan berteraskan perpaduan, keadilan sosial dan kepimpinan berwibawa perlu dijadikan asas kukuh dalam membina Malaysia yang aman, stabil dan bersatu padu. Setiap rakyat memainkan peranan penting sebagai duta keharmonian dalam kehidupan seharian. Apabila semua pihak berganding bahu memelihara keamanan, Malaysia akan terus kekal sebagai contoh negara yang harmoni dan disegani di peringkat antarabangsa.

Oleh: Wan Norsyafawati W. Muhamad Radzi
Fakulti Perniagaan & Komunikasi
Universiti Malaysia Perlis

Prof. Madya Dr. Ruzelan bin Khalid
Universiti Utara Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast