Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – UMNO bukan satu-satunya pilihan yang ada buat bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin untuk membuat kemunculan semula dalam dunia politik.

Sebaliknya, pemerhati politik, Azizi Safar berkata, Khairy boleh memilih untuk menyertai parti lain seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) jika merasakan hala tuju dan idealisme politiknya lebih serasi dengan reformasi dan pendekatan progresif.

Menurutnya, PKR, sebagai parti teras dalam Kerajaan Perpaduan mungkin membuka ruang untuk Khairy kembali aktif malah berpotensi menyumbang secara langsung di peringkat nasional.

Selain itu, Khairy juga boleh menubuhkan parti baharu atau terus bebas, meskipun pilihan tersebut lebih mencabar kerana memerlukan sumber, masa dan strategi komunikasi yang mantap.

Azizi Safar

“Buat masa ini, laluan paling mudah dan cepat untuk KJ kembali ke arus perdana ialah melalui UMNO.

“Tapi politik bukan dunia hitam putih. Dan UMNO juga bukan lagi parti politik dominan dalam arus perdana politik negara,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Azizi mengulas mengenai desas-desus kemungkinan Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO kembali semula ke pangkuan parti itu selepas dipecat pada Januari 2023.

Spekulasi itu bertiup kencang selepas Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan dilaporkan menyatakan hasrat untuk kembali menyertai parti itu di hadapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada pertemuan di sebuah majlis baru-baru ini.

Bagaimanapun, Khairy semalam meminta `beberapa minggu’ bagi mengulas spekulasi itu dan dalam masa sama menegaskan beliau tidak pernah meninggalkan UMNO, sebaliknya dipecat dari parti tersebut.

Sementara itu, Azizi berkata, dalam sistem politik di negara ini yang masih sangat bergantung pada struktur parti khususnya parti besar yang mempunyai akar peringkat akar umbi dan jentera pilihan raya yang tersusun, keupayaan seseorang tokoh untuk kembali ke pentas utama amat bergantung kepada platform yang dipijak.

Suka atau tidak, ujarnya, UMNO masih mempunyai struktur dan kekuatan tersendiri.

“Jika KJ kembali ke UMNO, dia ada peluang (walaupun tipis pada masa ini) untuk bertanding di kerusi boleh menang dan jika menang, ruang untuk kembali menjadi menteri terbuka semula lebih-lebih lagi jika UMNO kekal dalam kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast