Shostkiy mahu anak buahnya bangkit dan menewaskan JDT dalam saingan ACLE di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri esok.

ISKANDAR PUTERI – Kelab bola sepak China, Shanghai Shenhua mahu bangkit selepas pengalaman tewas dengan Johor Darul Ta’zim (JDT), dalam aksi Liga Juara-Juara Asia (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, malam esok.

Pengendalinya, Leonid Shostkiy berkata, pengalaman musim lalu yang menyaksikan pasukannya tewas 0-3 di tempat sama menjadi motivasi untuk bangkit dalam pertemuan terbaharu ini.

“Tahun lalu kami kepenatan, perjalanan jauh, jadual padat dan bermain 70 minit dengan kekurangan seorang pemain. Kami memang tak punya peluang ketika itu.

“Tapi sekarang semuanya berbeza. Pemain kami lebih bersedia, lebih bertenaga dan skuad kami lebih kompetitif,” katanya dalam sidang akhbar menjelang perlawanan itu di stadium itu, hari ini

Shostkiy turut memuji kualiti kelab Harimau Selatan yang disifatkannya sebagai pasukan ‘ala Sepanyol’ kerana gaya permainan yang ofensif, hantaran pantas dan penguasaan bola tinggi.

“JDT ini seperti pasukan Eropah. Stadium hebat, padang terbaik, atmosfera luar biasa. Kami teruja dapat kembali ke sini,” ujarnya.

Beliau bagaimanapun menepis dakwaan aksi esok sebagai misi balas dendam, sebaliknya menyifatkan itu sekadar satu daripada lapan perlawanan dalam saingan kumpulan ACLE.

“Tiada soal dendam. Kami cuma mahu menunjukkan kami mampu bersaing di peringkat tertinggi,” katanya.

Shostkiy mendedahkan dua muka baharu iaitu penyerang dari Brazil, Saul dan pemain Afrika, Asoye selain kelibat pemain tengah berbakat, Joao Teixeira yang tidak beraksi musim lalu, bakal memperkukuh cabaran pasukannya.

Mengulas mengenai taktikal, beliau percaya Shenhua mampu mencuri peluang melalui serangan balas dan situasi bola mati.

“JDT sangat kuat di Malaysia, tetapi Liga Juara-Juara ini lain. Kami akan cuba manfaatkan ruang yang mereka tinggalkan,” jelasnya.

Dalam masa sama, beliau yakin masalah cuaca panas di Johor tidak menjadi isu memandangkan Shanghai turut melalui musim panas yang ekstrem.

Jurulatih dari Rusia itu menegaskan fokus utama pasukan kini sepenuhnya tertumpu kepada kejohanan AFC, bukan saingan liga domestik semata-mata.

“Bagi saya, JDT adalah antara pasukan paling menarik dalam Liga Juara-Juara Asia. Mereka ada gaya tersendiri. Sebab itu, kami sangat teruja untuk lawan mereka sekali lagi,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast