Ahmad Fadhli Umar Aminolhuda

JOHOR BAHRU – Satu sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) membincangkan secara menyeluruh krisis bekalan air akibat pencemaran Sungai Johor perlu diadakan.

Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Fadhli Umar Aminolhuda berkata, langkah itu penting bagi memastikan kerajaan negeri mengambil tindakan segera dan terancang dalam menangani isu berulang yang memberi kesan besar kepada rakyat serta industri.

“Pencemaran yang menjejaskan operasi loji rawatan air (LRA) bukan sekadar masalah teknikal sebaliknya mencerminkan kelemahan dalam pengurusan sumber air negeri.

“Apabila sungai tercemar, rumah terputus bekalan dan industri terhenti operasi, yang terganggu bukan hanya aliran air tetapi juga tahap kepercayaan rakyat terhadap keupayaan kita mengurus kemajuan,” ujarnya dalam kenyataan.

Fadhli berkata, Johor kini sedang menuju era sebagai hab pusat data dan ekonomi digital serantau dengan lebih 100 permohonan pusat data baharu serta penggunaan air yang dianggarkan melebihi 800 juta liter sehari iaitu hampir separuh daripada kapasiti air terawat negeri.

“Kita tidak boleh lagi bergantung kepada pendekatan harap tidak berlaku lagi. Tindakan mesti pantas, berasaskan data dan disokong oleh sistem pemantauan serta tindak balas yang cekap,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar satu mobilisasi khas digerakkan secara berkala membabitkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi sebarang risiko pencemaran.

“Krisis ini bukan sekadar ujian biasa, ia adalah ujian kepimpinan kerajaan negeri. Kerajaan mesti bertindak hari ini sebelum air yang menghidupkan negeri ini menjadi beban yang menenggelamkan harapan rakyat,” katanya.

Jumaat lalu, pencemaran lumpur di hulu Sungai Johor, Kota Tinggi disedari penduduk pukul 7 pagi akibat insiden kolam cucian pasir yang pecah di sebuah kawasan perlombongan pasir darat berhampiran Kampung Orang Asli Sayong Pinang.

Pencemaran itu menyebabkan empat loji rawatan air yang mengambil sumber air mentah dari Sungai Johor terjejas melibatkan hampir 1.2 juta pengguna.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast