KUALA LUMPUR – Pemberi pinjam wang berlesen (PWB) dilarang menggunakan kaedah tuntutan semula bayaran yang menindas dan mempunyai elemen kekerasan.
Timbalan Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, tindakan seperti itu boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM50,000 dan tidak lebih RM250,000 atau dipenjarakan selama tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Malah, katanya, bagi kesalahan kedua atau berturutan pula, PWB terlibat boleh dikenakan sebatan sebagai hukuman tambahan.
Selain itu, tambah beliau, PWB yang mengenakan kadar faedah melebihi had yang dibenarkan atau mengenakan faedah melebihi jumlah pokok pinjaman juga boleh dikenakan tindakan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 18 bulan atau kedua-duanya sekali.
“Seksyen 23 Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 [Akta 400] turut menetapkan larangan caj bagi perbelanjaan ke atas pinjaman oleh pemegang lesen pemberi pinjam kepada peminjam kecuali kos duti setem dan fi pengakusaksian yang dinyatakan di format perjanjian yang ditetapkan di bawah Akta,” katanya dalam sesi jawapan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Aiman Athirah (PH-Sepang) menjawab soalan M.P. Prabakaran (PH-Batu) berkenaan mekanisme kawalan ke atas lesen pemberi pinjaman wang agar rakyat tidak menjadi mangsa caj melampau serta aduan berulang mengenai kaedah tuntutan yang menindas dan mempunyai elemen gangsterisme.
Sementara itu, Aiman Athirah berkata, bagi mengelak caj melampau dikenakan oleh PWB, Akta 400 turut menetapkan pinjaman bercagar hendaklah tidak melebihi 12 peratus setahun atau 1.0 peratus sebulan.
Bagi pinjaman tanpa cagaran, pula jelas beliau, hendaklah tidak melebihi 18 peratus setahun atau 1.5 peratus sebulan.
Dalam masa sama, beliau menasihatkan orang awam supaya sentiasa berhati-hati dan terus cakna dengan hak-hak peminjam bagi memastikan tidak menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab.
Jelasnya, semakan status pelesenan syarikat boleh dibuat melalui aplikasi i-KrediKom bagi Semenanjung atau mendapatkan pengesahan daripada pihak autoriti pelesenan bagi negeri Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Sebarang aduan berhubung pelanggaran Akta 400 boleh dikemukakan kepada KPKT melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) KPKT di pautan https://kpkt.spab.gov.my untuk siasatan dan tindakan perundangan selanjutnya,” katanya. – MalaysiaGazette
















