KUALA LUMPUR – Datuk Mohamad Helmy Othman Basha mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengarah Urusan Kumpulan SD Guthrie Berhad (Guthrie) berkuat kuasa 31 Disember 2025.
Beliau bagaimanapun akan meneruskan perkhidmatan sebagai Penasihat kepada Lembaga Pengarah mulai 1 Januari 2026, sehingga persaraannya pada 30 Jun 2026 sebagaimana yang telah dirancang.
Sehubungan dengan itu, jawatan Pengarah Urusan Kumpulan akan diambil alih oleh Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Guthrie, Mohd Haris Mohd Arshad pada 1 Januari 2026.
“Kami ingin merakamkan penghargaan kepada Mohamad Helmy atas perkhidmatan cemerlang beliau sebagai Pengarah Urusan Kumpulan Guthrie sepanjang enam setengah tahun yang lalu.
“Beliau telah memimpin syarikat ini dalam mengharungi tempoh yang cukup mencabar sehingga berjaya mengemudi syarikat ke arah prestasi operasi dan kewangan yang memberangsangkan,” kata Pengerusi Guthrie, Tan Sri Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani.
Mohamad Helmy dilantik sebagai Pengarah Urusan Kumpulan Guthrie pada 1 Julai 2019, bagi mengambil alih kepimpinan Sime Darby Plantation Berhad daripada Tan Sri Mohd Bakke Salleh pada ketika itu, sebelum penjenamaan semula syarikat kepada Guthrie.
Sepanjang penggal pertama tempoh perkhidmatan beliau, Guthrie mengharungi pelbagai cabaran, termasuklah harga minyak sawit mentah (MSM) yang menjunam pada 2019, pandemik serta kawalan pergerakan dan seterusnya, sekatan kemasukan produk Guthrie ke Amerika Syarikat serta kekurangan tenaga kerja ladang akibat penutupan sempadan.
Dalam keadaan harga MSM yang sangat rendah pada 2019, beliau bersama Mohd Haris telah merangka strategi untuk meningkatkan sumbangan hasil daripada segmen Hiliran Syarikat bagi mengurangkan kebergantungan kepada harga komoditi.
Setelah mengemudi Guthrie melalui krisis yang berpanjangan, pada 2024, Mohamad Helmy mengetuai pihak pengurusan dalam usaha penjenamaan semula Syarikat, seiring dengan inisiatif penjajaran semula dan kepelbagaian perniagaan, melalui pembangunan dua segmen perniagaan baru – Tenaga Boleh Diperbaharui dan Pembangunan Perindustrian.
Manakala Mohd Haris pula menyertai Sime Darby Berhad pada 2014, sebagai Ketua Perdagangan & Pemasaran Global. Berikutan pengasingan Kumpulan Sime Darby pada November 2017.
Beliau dilantik sebagai Ketua Pegawai Operasi Segmen Hiliran Sime Darby Plantation Berhad pada ketika itu.
Beliau telah memainkan peranan penting dalam penjenamaan semula segmen Hiliran Syarikat kepada Sime Darby Oils (SDO) pada 2019.
Beliau turut dilantik sebagai Pengarah Urusan SDO yang pertama pada bulan Mei tahun itu dan seterusnya menyelia pertumbuhan mampan SDO dengan jayanya, sehingga hampir menggandakan keuntungan dalam tempoh tiga tahun.
Pada Januari 2024, Mohd Haris dilantik Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (GCOO), satu peranan baharu yang lebih meluas dan merangkumi seluruh operasi segmen Huluan Guthrie.
Melalui kunjungan ke semua wilayah operasi segmen Huluan di Malaysia, Indonesia, Papua New Guinea dan Kepulauan Solomon, beliau mengambil pendekatan praktikal dan bekerja rapat dengan operasi ladang dan kilang Syarikat.
Pada 1 September 2025, Mohd Haris dilantik sebagai Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan, sebagai persediaan untuk mengambilalih tugas daripada Mohamad Helmy. -MalaysiaGazette
















