Mohamad Fazli meninjau pengagihan bekalan air dari lori tangki Runhill SAJ kepada penduduk sekitar Taman Impian Emas, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri akan mewartakan Sungai Johor bagi melindunginya daripada sebarang aktiviti pencemaran pada masa akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, langkah itu juga bagi mengawal aktiviti pembangunan di sepanjang jajaran sungai tersebut.

“Kita akan gazetkan keadah pembangunan di sepanjang jajaran Sungai Johor dan sungai-sungai yang bergabung dengannya. Kita akan tubuhkan jawatankuasa untuk memberi maklum balas bagaimana dilaksana (diwartakan nanti).

“Kalau digazetkan kemungkinan tiada lagi aktiviti (pembangunan) akan dapat dikawal,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pengagihan bekalan air di Taman Impian Emas hari ini.

Jelas Mohamad Fazli, langkah tersebut juga bagi memastikan Insiden pencemaran Sungai Johor sejak Jumaat lalu tidak berulang lagi.

Katanya, insiden pencemaran di Sungai Johor, Kota Tinggi kali ini merupakan yang paling buruk dalam sejarah negeri ini.

“Pencemaran kali ini merekodkan bacaan kekeruhan air mentah tertinggi dalam rekod iaitu 37,400 Nephelometric Turbidity Unit (NTU) berbanding paras normal sekitar 400 NTU.

“Ini berbanding bacaan sungai tercemar paling tinggi pernah dicatatkan sebelum ini iaitu lima tahun lalu sekitar 5,000 NTU,” katanya.

Menurutnya, pencemaran yang berlaku kali ini mengakibatkan krisis air membabitkan 292,158 akaun pengguna atau 1.168 juta pengguna di Johor Bahru, Kota Tinggi, Gelang Patah, Kulai dan Pontian.

Tambahnya, krisis air berlaku berikutan empat LRA ditutup secara berperingkat-peringkat membabitkan LRA Linggiu; Semanggar; Sungai Johor dan Tai Hong.

“LRA Linggiu merupakan loji pertama yang terpaksa dihentikan operasi pukul 7 pagi, pada 31 Oktober dan beroperasi semula selepas tempoh 14 jam 30 minit,” ujarnya.

Penutupan paling lama pula katanya, membabitkan LRA Tai Hong yang terpaksa ditutup selama 32 jam kerana terletak berhampiran kawasan muara sungai.

LRA Semanggar pula ditutup pada 2.30 petang pada 31 Oktober lalu dan beroperasi semula pada 1 November iaitu selepas 23 jam 30 minit, ujarnya.

“LRA Sungai Johor pula beroperasi mula 12 tengah malam pada 2 November selepas ditutup mulai 10 malam pada 31 Oktober,” katanya.

Beliau berkata, antara tindakan dilakukan pihaknya termasuk menggantung permit serta mengeluarkan notis arahan untuk menghentikan operasi syarikat berkaitan yang menyumbang pencemaran.

Pihaknya juga mengarahkan syarikat tebabit untuk menanggung segala kos kerosakan ataupun implikasi khususnya kepada rakyat Johor.

“Bacaan NTU terkini Sungai Johor adalah bawah daripada 500. Keadaan Sungai Johor kini sudah pulih,” katanya.

Jumaat lalu, pencemaran lumpur di hulu Sungai Johor, Kota Tinggi disedari penduduk pukul 7 pagi akibat insiden kolam cucian pasir yang pecah di sebuah kawasan perlombongan pasir darat berhampiran Kampung Orang Asli Sayong Pinang.

Pencemaran itu menyebabkan empat loji rawatan air yang mengambil sumber air mentah dari Sungai Johor terjejas melibatkan hampir 1.2 juta pengguna.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast