Keadaan benteng penahan air laut yang pecah akibat air pasang sehingga menyebabkan limpahan air masuk ke rumah penduduk sekitar Kampung Teluk Penikam, Bagan Datuk awal pagi Khamis. Foto Sekretariat Bencana Daerah Bagan Datuk

BAGAN DATUK – Beberapa rumah di sekitar Kampung Teluk Penikam di sini dimasuki air selepas benteng penahan air laut di kawasan itu pecah sewaktu kejadian air pasang awal pagi tadi.

Sekretariat Bencana Daerah Bagan Datuk dalam satu kenyataan memaklumkan, kejadian itu berlaku selepas benteng tersebut tidak mampu untuk menahan tekanan serta paras air laut yang naik mendadak sehingga menyebabkan limpahan berlaku di kawasan berkenaan.

Menurutnya, impak daripada bencana itu, struktur kediaman penduduk mengalami kerosakan terutamanya di bahagian lantai dan dinding.

“Kita mendapati air laut melimpah ke dalam rumah penduduk dengan paras dianggarkan antara 0.3 hingga 0.6 meter menyebabkan perabot dan barangan rumah rosak.

“Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan susulan insiden tersebut,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Sekretariat tersebut turut memaklumkan, seramai enam orang mangsa telah diarahkan berpindah sementara ke Dewan Orang Ramai Perumahan Awam Bagan Datuk.

Tambahnya, barangan asas seperti toto, kain pelikat/batik, air mineral dan keperluan mandian telah diberi kepada mangsa oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Pada masa ini, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kini sedang giat menjalankan kerja-kerja pembaikan benteng yang pecah.

“Pemantauan berterusan dilakukan melibatkan beberapa agensi termasuk Balai Polis Bagan Datuk, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan JKM bagi menilai kerosakan serta menyalurkan bantuan awal kepada mangsa,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast