Menteri Digital yang juga Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-15 di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 06 NOVEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Menteri Digital, Gobind Singh Deo menempelak Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari supaya membaca dengan sebaik-baiknya dokumen Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia–Amerika Syarikat (AS).

Menurutnya, beliau hairan mengapa Ahmad Fadhli serta ahli-ahli Parlimen pembangkang lain seolah-olah tidak boleh memahami waima istilah mudah sekali pun yang digunakan dalam dokumen ART itu.

Tegasnya, dari aspek kedaulatan negara dalam perjanjian ART, Kerajaan Madani sangat memahami perkara itu dan telah beberapa kali membincangkan mengenainya di peringkat Kabinet.

Malangnya ujar beliau, pembangkang seolah-olah tidak mahu menerima bahawa dokumen ART itu sangat jelas tidak menyekat atau menggadaikan kedaulatan negara.

“Saya rasa sudah cukuplah, saya setuju dengan Tambun (Datuk Seri Anwar Ibrahim), politik itu ada hadnya.

“Kita mahu buat yang baik untuk negara kita, baca betul-betul dokumen itu, tanya soalan yang cerdik, saya boleh jawab.

“Sampai bila mahu ulang-ulang perkara ini (kedaulatan)? Kita sedar berkenaan dengan kedaulatan, tapi saya lihat di sebelah sana (pembangkang), memang tak mahu terima bahawa perkataan-perkataan di dalam dokumen itu jelas tidak menyekat kita.

“Kita tidak memberikan kedaulatan negara kepada sesiapa, malah kita kerajaan yang prihatin dan mahukan kebaikan untuk negara,” katanya dalam sesi jawapan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Gobind (PH-Damansara) menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli yang meminta penjelasan sama ada ART secara tidak langsung telah menyerahkan kunci kedaulatan digital negara kepada negara lain dan menjadikan Malaysia hanya sekadar makmal ujikaji algoritma syarikat Silicon Valley.

Sementara itu, Gobind turut menjelaskan bahawa kerajaan turut mengadakan perbincangan dengan Menteri-menteri digital serantau berhubung impak positif daripada kerjasama dalam bidang digital sama ada di peringkat ASEAN atau dengan kuasa dunia lain. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast