KUALA LUMPUR – Keindahan seni warisan Melayu terus dimartabatkan apabila Management and Science University (MSU) menampilkan corak telepuk Selangor sebagai elemen utama dalam penganjuran International Songket Run 5.0 (ISR5.0) tahun ini.
Bertemakan Eminence of Songket – acara yang meraikan keanggunan songket itu bakal berlangsung pada 15 November 2025 di U-Square, MSU Shah Alam – melibatkan dua kategori larian sejauh lima dan 10 kilometer di sekitar Seksyen 13, Shah Alam.
Pengarah Program ISR5.0, Julian Wong Anak Areny berkata, penganjuran tersebut bukan sekadar menggalakkan gaya hidup sihat malah memperkukuh penghargaan terhadap warisan budaya tempatan.

“Songket perlu dilihat sebagai simbol identiti dan kebanggaan bangsa sejajar dengan usaha menggabungkan elemen tradisi dalam aktiviti moden,” katanya.
Acara tahunan anjuran Jabatan Pembangunan Pelajar dan Kerjaya MSU itu dijayakan dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara serta Jabatan Belia dan Sukan Negeri Selangor dan menyasarkan penyertaan seramai 5,500 peserta.
Edisi kali ini turut mencipta kelainan apabila bakal dirasmikan oleh Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin selaku penaung ISR5.0 sebagai tanda sokongan terhadap usaha memelihara warisan tempatan serta memupuk amalan hidup sihat.
Corak bunga telepuk Selangor diangkat sebagai motif utama dalam reka bentuk acara tersebut selaras dengan inisiatif Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) yang mewartakan telepuk sebagai warisan tekstil negeri.
Penganjuran ISR5.0 turut mendukung Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs), khususnya Goal 3: Good Health & Well-Being, Goal 11: Sustainable Cities and Communities dan Goal 17: Partnership for the Goals.
Sejak diperkenalkan pada 2018, International Songket Run pernah mencipta dua rekod dalam Malaysia Book of Records (MBR) , The Largest Number of People Wearing or Having Songket Elements as Part of Their Dressing (2018) dan The Largest Participation in a Songket Running Event (2019).
Melalui penganjuran edisi kelima itu, MSU terus menzahirkan komitmen dalam memartabatkan seni songket, khususnya corak telepuk Selangor ke persada global agar terus dihargai generasi muda masa kini. – MalaysiaGazette















