KUALA LUMPUR – Sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Armada memandang serius keputusan Mahkamah Tinggi semalam yang mengesahkan kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlibat dalam penculikan Pastor Raymond Koh.
Pengarah Jabatan Komunikasi dan Media Baharu Armada Bersatu Malaysia, Na’im Brundage berkata, keputusan itu menandakan satu sejarah hitam dalam negara apabila mahkamah sendiri mengesahkan penglibatan langsung kerajaan dalam penculikan warganya.
“Ini merupakan kes pertama dalam sejarah negara di mana mahkamah mengesahkan penglibatan langsung kerajaan dalam penculikan warganya sendiri,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Na’im mengulas keputusan Mahkamah Tinggi semalam yang memerintahkan Kerajaan Malaysia dan polis membayar pampasan melebihi RM31 juta kepada waris Pastor Raymond Koh berhubung dakwaan penglibatan kerajaan dalam kes penculikannya, lapan tahun lalu.
Hakim Datuk Su Tiang Joo mengarahkan kerajaan membayar ganti rugi RM10,000 sehari bermula 13 Februari 2017, iaitu tarikh kehilangan Raymond sehingga dia ditemui.
Na’im berkata keputusan itu bukan sahaja membebankan kewangan negara, malah membuktikan kesalahan pihak berkuasa kini perlu ditanggung menggunakan wang cukai rakyat.
“Lebih membimbangkan, sehingga kini tiada sebarang tindakan atau pendakwaan dikenakan terhadap mana-mana individu dalam kerajaan, walaupun keputusan mahkamah telah mengesahkan keterlibatan kerajaan dalam kes penculikan ini,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kegagalan kerajaan mengambil tindakan sewajarnya menimbulkan persoalan besar terhadap integriti serta keadilan dalam pelaksanaan undang-undang di negara ini.
Sehubungan itu, Na’im menuntut tindakan undang-undang diambil segera terhadap semua pihak yang terlibat dalam kes berkenaan.
“Kerajaan tidak boleh terus berdiam diri lagi memandangkan mahkamah telah jelas mengesahkan keterlibatannya.
“Keadilan mesti ditegakkan dan kepercayaan rakyat terhadap institusi-institusi negara perlu segera dipulihkan,” ujarnya.
Raymond Koh diculik ketika memandu di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya, dan sehingga kini, beliau telah hilang selama 3,188 hari.
Ketika perbicaraan, mahkamah diberitahu bahawa lima lelaki bertopeng berpakaian seragam hitam menyerupai anggota tentera telah menarik Raymond keluar dari kenderaannya.
Isteri Koh, Susanna Liew, kemudiannya memfailkan saman terhadap kerajaan dan polis berhubung dakwaan penglibatan pihak berkuasa dalam kehilangan suaminya serta kelemahan siasatan terhadap kes tersebut.
Pada 24 September 2024, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan dakwaan bahawa Laporan Pasukan Petugas Khas bagi menyiasat kehilangan Koh yang diserahkan kepada keluarga dan peguam telah diubah.
KDN dalam kenyataan menjelaskan bahawa laporan tersebut merupakan dokumen milik kerajaan yang tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Arahan Keselamatan (Semakan dan Pindaan 2017).
Pada 2019, kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas itu untuk menyiasat kes kehilangan Koh yang diculik pada 2017 serta aktivis sosial, Amri Che Mat, yang hilang pada 2016.
Dalam prosiding sama, hakim turut memerintahkan kerajaan dan pihak polis membayar ganti rugi melebihi RM3 juta kepada isteri Amri, Noorhayati Mohd Ariffin, berhubung kehilangan aktivis itu sembilan tahun lalu.
Perintah tersebut meliputi ganti rugi am dan teruk RM2 juta, ganti rugi teladan RM1 juta, serta ganti rugi khas RM14,457.52. – MalaysiaGazette
















