KUALA LUMPUR – Cadangan kerajaan negeri Johor untuk mewartakan Sungai Johor sebagai kawasan tadahan air kekal penting bagi menjamin bekalan air berterusan kepada hampir dua juta pengguna di negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill SAJ Sdn. Bhd., Anuar Abdul Ghani berkata, pihaknya amat bimbang dengan ancaman pencemaran yang boleh menjejaskan operasi empat Loji Rawatan Air (LRA) di Sungai Johor.”
“Pewartaan kawasan tadahan kekal akan menjadi benteng utama melindungi sumber air negeri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Empat LRA berkenaan ialah LRA Sungai Linggiu, Semangar, Sungai Johor dan Tai Hong.
Anuar berkata, pewartaan itu akan membantu mengawal pembangunan serta aktiviti industri berhampiran sumber air.
Menurutnya, insiden pencemaran Sungai Johor pada Jumaat lalu yang menyebabkan empat LRA ditutup menunjukkan pentingnya perlindungan kawasan tadahan air.
Kekeruhan air direkodkan melebihi 37,400 NTU, berbanding paras normal sekitar 400 NTU, mengakibatkan hampir 300,000 akaun pengguna di Johor Bahru, Kota Tinggi, Gelang Patah, Skudai dan Kulai terjejas. – Malaysiagazette
















