Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

CYBERJAYA — Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyatakan rasa kagum terhadap keupayaan keselamatan dan penguatkuasaan Malaysia ketika penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN, baru-baru ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jelasnya, Trump turut menyatakan kesediaannya untuk bertemu dengan Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Mohd Khalid Ismail bagi menyampaikan penghargaan secara peribadi.

Tambah Anwar, Trump terkesan dengan tahap profesionalisme dan kecekapan yang ditunjukkan oleh pasukan keselamatan Malaysia ketika menerima kunjungan tokoh-tokoh terkenal antarabangsa baru-baru ini termasuk dirinya serta Perdana Menteri China, Li Qiang.

“Presiden Trump malah meminta kebenaran untuk bertemu dengan Ketua Polis Negara bagi menyampaikan penghargaan secara peribadi atas profesionalisme luar biasa pasukan keselamatan kita,” katanya.

Anwar berkata demikian dalam ucapan merasmikan Malaysia Semiconductor IC Design Park 2 di sini hari ini.

Beliau menambah, kejayaan Malaysia menguruskan lawatan sedemikian yang jelas menarik perhatian antarabangsa adalah hasil kerjasama mantap melibatkan pelbagai agensi termasuk Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Luar Negeri (KDN) dan Kementerian Luar (KLN).

“Tadi, saya ada mesyuarat di pejabat dengan salah satu kumpulan pelaburan terbesar dunia dari New York.

“Mereka sudah mempunyai beberapa pelaburan awal di sini namun kini mereka merasakan dengan perhatian global dan kejayaan pelbagai pasukan kita MITI, Kementerian Luar Negeri, dan semua pihak yang terlibat termasuk unit pengaman Polis Diraja Malaysia yang menunjukkan kecekapan tinggi semasa lawatan Premier Li Qiang dan Presiden Donald Trump, mereka benar-benar kagum bukan sahaja dengan infrastruktur kita tetapi juga dengan keupayaan kita,” katanya.

Anwar menegaskan, semua kejayaan ini adalah hasil kerjasama baik dari pelbagai agensi.

Sebelum ini, Presiden China, Xi Jinping memuji Malaysia atas kejayaan menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47, selain merealisasi pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur.

Turut menzahirkan ucapan sama Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent.

Perjanjian Damai Kuala Lumpur dimeterai di luar Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan sidang berkaitan yang berlangsung di Kuala Lumpur bermula 26-28 Oktober lepas.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, dengan Trump dan Anwar bertindak sebagai saksi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast