KUALA LUMPUR – Tindakan membanteras pusat penipuan di Kemboja tidak semestinya menamatkan kegiatan sindiket terbabit, sebaliknya rangkaian berkenaan dipercayai mencari lokasi baharu bagi meneruskan operasi dan memburu mangsa dari Malaysia.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim mendedahkan perkara itu baru-baru ini, susulan perkembangan kes rakyat Malaysia yang dipercayai terperangkap dalam kegiatan penipuan pekerjaan di luar negara.
Menurut beliau, Kemboja sebelum ini menjadi antara lokasi utama operasi sindiket penipuan yang memperdaya rakyat Malaysia dengan tawaran pekerjaan sebelum memaksa mereka melakukan kegiatan scam.
Katanya, tekanan penguatkuasaan terhadap sindiket di Kemboja dan beberapa negara lain menyebabkan kegiatan berkenaan dipercayai bergerak ke lokasi baharu.
“Bila tindakan besar-besaran dibuat, sindiket ini tidak semestinya berhenti. Mereka akan mencari lokasi lain dan mengubah cara operasi.
“Ini yang membimbangkan kerana rakyat Malaysia masih menjadi sasaran untuk direkrut sebelum dibawa ke luar negara,” katanya.
Hishamuddin berkata, perkembangan itu menunjukkan rangkaian sindiket berkenaan semakin sukar dikesan kerana tidak lagi bergantung kepada satu negara atau pusat operasi tertentu.
Menurutnya, MHO sebelum ini turut mengendalikan beberapa kes rakyat Malaysia yang diperdaya dengan tawaran pekerjaan sebelum dibawa ke Kemboja, Laos dan negara lain untuk dieksploitasi.
Malah, katanya, terdapat mangsa yang hanya menyedari mereka telah diperdaya selepas tiba di negara berkenaan dan kemudian dipaksa melakukan aktiviti penipuan dalam talian.
Hishamuddin berkata, corak perekrutan juga semakin membimbangkan apabila sindiket tidak semestinya menggunakan iklan pekerjaan di media sosial, sebaliknya memanfaatkan hubungan persahabatan dan kenalan rapat untuk mendapatkan kepercayaan mangsa.
“Bila tawaran datang daripada kawan atau orang yang dikenali, mangsa lebih mudah percaya dan tidak membuat semakan lanjut.
“Sebab itu kita melihat kes seperti ini terus berlaku walaupun banyak pendedahan sudah dibuat,” ujar beliau.
Beliau turut mengingatkan keluarga supaya mengambil serius sekiranya anak atau ahli keluarga menerima tawaran bekerja di luar negara dengan gaji lumayan tetapi proses pengambilan pekerja tidak jelas.
Katanya, sebarang maklumat mengenai individu yang dipercayai terperangkap dalam sindiket perlu disalurkan segera kepada pihak berkuasa dan perwakilan Malaysia bagi membolehkan usaha mengesan serta menyelamatkan mangsa dilakukan.
“Jangan tunggu sehingga mangsa sudah berada dalam kawalan sindiket baru hendak bertindak. Kita perlu cegah dari peringkat awal, terutama apabila melibatkan tawaran pekerjaan ke luar negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















