KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Parlimen pembangkang menggesa kerajaan khususnya Kementerian Luar Negeri (KLN) membuat kenyataan balas bagi menjawab tuduhan bekas ketua Radio dan Televisyen Tentera Diraja Thailand, Jeneral A. Rangsi Kitiyansap seperti yang tular di media sosial hari ini.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, tuduhan Kitiyansap kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai `pengkhianat’ dan `pengintip’ kepada Amerika Syarikat (AS) adalah sesuatu yang serius dan berat.
Apatah lagi, ujar beliau, tuduhan itu bukan dibuat oleh individu biasa atau pempengaruh di media sosial, sebaliknya oleh seorang bekas jeneral tentera diraja negara berkenaan.
“Saya kesal bagaimana Kitiyansap boleh menuduh Tambun (Anwar) sebagai pengkhianat dan pengintip kepada AS.
“Ini perkara yang Wisma Putra (KLN) perlu beri jawapan balas, sama ada menerusi nota bantahan diplomatik atau mungkin seorang jeneral tentera yang setanding untuk menjawab tuduhan ini, terpulanglah.
“Yang penting, maruah Tambun perlu dipertahankan dan dijaga kerana beliau merupakan pemimpin utama negara kita,” katanya pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat Jawatankuasa KLN di Dewan Rakyat hari ini.
Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim turut menyatakan pendirian sama, menuntut kerajaan menjelaskan serta-merta dakwaan yang dibuat oleh Kitiyansap itu.
Menurutnya, beliau sebelum ini sentiasa mengangkat Anwar sebagai `hero’ iaitu penyelamat atau orang tengah dalam konflik melibatkan Thailand dan Kemboja ketika menghadiri acara di luar negara dan akan terus berbuat demikian.
Namun, ujarnya, tanpa penjelasan daripada kerajaan berhubung dakwaan Kitiyansap itu, beliau tidak dapat mempertahankan Anwar jika tidak diberikan fakta sebenar.
“PM (Anwar) kena jawab sebab saya akan pertahankan PM di luar negara, tapi kalau saya tak dapat maklumat tentang perkara yang serius ini, bagaimana saya mahu mempertahankan beliau,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial wawancara oleh Kitiyansap yang didakwa antara lain melabel Anwar `musuh dalam selimut’ kepada ASEAN dan menggunakan perjanjian damai Thailand-Kemboja untuk mengangkat diri sendiri selaku Pengerusi ASEAN.
Berdasarkan terjemahan wawanacara itu yang tular, Kitiyansap menyatakan kemarahannya kerana mendakwa perjanjian damai Thailan-Kemboja sebenarnya telah membenarkan AS memasuki dan mengganggu kedaulatan ekonomi Thailand.
Dakwanya, perjanjian damai itu telah menggabungkan sekali perjanjian usahasama berkenaan cukai dagangan atau tarif dan nadir bumi (REE). – MalaysiaGazette
















