SHAH ALAM – Seorang bekas pegawai bank berdepan penjara 30 bulan jika gagal membayar denda RM25,000 selepas mengaku bersalah lima pertuduhan pilihan tidak melaporkan pemberian suapan RM15,920 kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sekitar Petaling Jaya, lima tahun lalu.
Tertuduh, Mohd Haikal Jamaludin, 41, membuat pengakuan itu selepas juru bahasa membacakan pertuduhan pilihan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Datuk Mohd Nasir Nordin, di sini, hari ini.
Mengikut lima pertuduhan pilihan itu, tertuduh yang menguruskan pembiayaan hartanah di sebuah bank secara rasuah diberikan suapan wang tunai berjumlah RM15,920 daripada seorang individu bagi pihak Firma Guaman Tan Norizan & Associates.
Ia sebagai upah untuk mencadangkan Firma Guaman Tan Norizan & Associates bagi menyediakan lima dokumen perjanjian pembiayaan bagi pembelian rumah kedai berjumlah lebih RM2.46 juta.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bank cawangan dekat Kelana Jaya, Pusat Bandar Kelana Jaya, Petaling Jaya antara 14 April, 18 November; 16 dan 23 Disember 2021 serta 13 Januari 2022.
Tindakan suspek itu melanggar peruntukan seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 (Akta 694) kerana tidak melaporkan pemberian suapan tersebut kepada pegawai SPRM atau pegawai polis yang hampir dengan seberapa segera sebagaimana dikehendaki di bawah subseksyen 25(1) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 25(2) Akta yang sama.
Akta itu memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu tertuduh merayu kepada Hakim Mahkamah Sesyen mengurangkan hukuman denda susulan bekas majikannya memberhentikan dia pada 2024 dan jabatan sumber manusia memberi alasan atas kecuaiannya iaitu mengambil cuti tanpa perakuan majikan.
Jelas tertuduh, tindakan dia mengambil cuti disebabkan diserang darah tinggi, sakit gout dan jantung di tahap 50 peratus.
Sebelum Hakim Nasir membenarkan pengurangan hukuman denda RM5,000 bagi setiap pertuduhan pilihan, beliau menasihatkan tertuduh agar bertaubat dan tidak mengulangi jenayah sama pada masa akan datang. – MalaysiaGazette
















