JOHOR BAHRU – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor akan membawa isu pencemaran Sungai Johor yang menjejaskan 1.8 juta rakyat dan 150 nelayan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) minggu depan.
Ketua Angkatan Anak Muda Bersatu (Armada) Johor, Alias Rasman berkata, wakil-wakil rakyat Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) sudah membincangkan cadangan itu untuk disuarakan.
“Beberapa siri perbincangan turut melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pihak profesional dalam bidang air dan alam sekitar bagi merangka cadangan dan langkah yang dicadangkan.
“Ini akan dibawakan dalam sidang DUN Johor yang dijadualkan berlangsung mulai minggu hadapan. Kita terus memainkan peranan sebagai kuasa pendesak dan pembangkang yang bertanggungjawab. Demi semak dan imbang yang efektif,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pihaknya memandang serius jaminan dan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan insiden pencemaran seperti itu tidak berulang yang dan membebankan rakyat.
Namun katanya, komitmen itu mesti diterjemahkan melalui tindakan pemantauan, penguatkuasaan serta ketelusan yang lebih tegas dan konsisten.
“Armada Bersatu Johor juga menyambut baik jaminan Menteri Besar bahawa pihak yang bertanggungjawab terhadap pencemaran ini akan dikenakan tindakan sewajarnya. Kami akan memantau rapat pelaksanaan janji tersebut,” katanya.
Pada masa sama, Alias berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, semalam mengenai rebat air sebanyak 15 peratus iaitu kadar kepada ketua isi rumah yang terjejas sama seperti semasa krisis air pada Mei lalu.
Beliau berpendapat, kadar tersebut masih belum setimpal dengan kesusahan yang ditanggung rakyat kali ini, memandangkan skala pencemaran dan tempoh gangguan yang jauh lebih serius.
“Menteri Besar harus menjadikan insiden ini sebagai pengajaran penting untuk bertindak lebih pantas, tegas dan berempati terhadap rakyat dalam setiap krisis dan bencana di Johor.
“Pengalaman krisis air akibat kerosakan pam utama yang menyalurkan air ke Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Johor pada Mei lalu sebagai contoh, sepatutnya sudah cukup untuk dijadikan teladan,” tegasnya.
Alias sebelum ini menyarankan Onn Hafiz mengadakan sidang akhbar menjelaskan perkembangan terkini dan langkah penyelesaian dalam isu pencemaran Sungai Johor.
Beliau dilaporkan berkata, saranan itu dibuat keran Menteri Besar Johor masih berdiam diri, tiada penjelasan dan tidak memberi jalan penyelesaian selepas lebih empat hari krisis berlaku.
Jumaat lalu, pencemaran di Sungai Johor, Kota Tinggi disedari penduduk pukul 7 pagi akibat insiden kolam cucian pasir yang pecah di sebuah kawasan perlombongan pasir darat berhampiran Kampung Orang Asli Sayong Pinang.
Pencemaran itu menyebabkan empat loji rawatan air (LRA) yang mengambil sumber air mentah dari Sungai Johor terjejas melibatkan 1.8 juta pengguna dan 150 nelayan di Johor Bahru, Kota Tinggi, Pontian, Gelang Patah dan Kulai.- MalaysiaGazette
















