Kempen ini terbuka kepada semua peminjam konvensional dan ujrah PTPTN.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melaksanakan Kempen Lestari Pendidikan, inisiatif bersepadu dan pendekatan mesra pelanggan untuk membantu serta memudahkan peminjam membuat bayaran balik pinjaman.

Kempen Lestari Pendidikan ini membantu peminjam PTPTN yang mempunyai tunggakan pinjaman untuk menstrukturkan semula pinjaman mengikut kemampuan kewangan mereka.

Kempen ini terbuka kepada semua peminjam konvensional dan ujrah PTPTN yang mempunyai tunggakan berjumlah RM500 dan ke atas dalam tempoh kempen bermula 15 Oktober 2025 hingga 15 Disember 2025.

PTPTN berkata, melalui kempen ini, peminjam hanya perlu membuat bayaran pendahuluan 20% daripada jumlah tunggakan atau sekurang-kurangnya RM500, mana yang lebih tinggi dan memohon rundingan bayaran balik melalui aplikasi web myPTPTN.

Melalui rundingan ini, peminjam boleh menstrukturkan semula pinjaman, melakukan pertukaran ujrah atau menggabungkan pinjaman dalam tempoh kempen.

Dengan kaedah ini, peminjam berpeluang untuk menyusun semula jadual bayaran balik (JBB) mengikut kemampuan kewangan masing-masing.

“Kempen Lestari Pendidikan ini merupakan inisiatif strategik PTPTN yang dirangka bagi meringankan beban peminjam melalui #PTPTNBolehBincang.

“Peminjam boleh berbincang atau berunding untuk pelan pembayaran fleksibel iaitu penstrukturan semula bayaran balik pinjaman mengikut kemampuan kewangan mereka.

“PTPTN bukan sahaja memberi ruang kepada peminjam untuk menyusun semula komitmen kewangan, malah memastikan kelestarian dana pinjaman agar dapat terus dimanfaatkan oleh generasi pelajar akan datang,” katanya hari ini.

Menurut PTPTN, bagi memastikan kelancaran bayaran balik pinjaman, peminjan digalakkan untuk untuk membuat bayaran balik pinjaman melalui bayaran ansuran secara potongan gaji atau direct debit serta menikmati insentif menstrukturkan semula pinjaman mengikut kemampuan kewangan masing-masing.

Malah, PTPTN juga melaksanakan pendekatan proaktif iaitu inisiatif #PTPTNSediaBantu bagi memudahkan peminjam berurusan dengan menyediakan pelbagai saluran perkhidmatan yang lebih mudah, cepat dan selamat.

Peminjam boleh menghubungi PTPTN melalui saluran berikut:
• Careline PTPTN di 03 – 2193 3000
(beroperasi Isnin hingga Jumaat, Jam 9 pagi hingga 5 petang)
• Live Chat di portal PTPTN (www.ptptn.gov.my)
• E-AduanPTPTN (https://eaduan.ptptn.gov.my/)
• Eksekutif Jualan PTPTN (https://www.ptptn.gov.my/hubungi-ptptn)
• Media Sosial Rasmi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional

Tambahnya, bagi menggalakkan bayaran balik pinjaman dalam kalangan peminjam dan meningkatkan kualiti perkhidmatan, Bulan Mesra Pelanggan PTPTN juga dilaksanakan secara serentak di Pejabat PTPTN Negeri dan Cawangan seluruh negara bermula 1 November hingga 15 Disember 2025.

Pelbagai tawaran istimewa kepada para peminjam PTPTN iaitu:
i. Layak Cabutan bagi bayaran balik pinjaman berjumlah RM500 dan ke atas dengan menawarkan hadiah tunai yang sangat lumayan berjumlah RM70,000 kepada 140 pemenang. Tempoh promosi cabutan ini bermula pada 1 November hingga 15 Disember 2025; dan
ii. Cenderamata khas diberikan kepada 20 pelanggan terawal yang hadir di kaunter Pejabat PTPTN Negeri dan Cawangan serta membuat rundingan bayaran balik.

Selain itu, waktu operasi kaunter di pejabat PTPTN negeri dan cawangan terpilih seluruh negara turut dilanjutkan mulai jam 8.30 pagi hingga 6 petang termasuk hari Sabtu dari jam 9 pagi hingga 5 petang mulai 1 Disember hingga 15 Disember 2025 bagi memudahkan pelanggan berurusan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast