KUALA LUMPUR – Cubaan dua wanita warga Filipina memasuki perairan Labuan menggunakan sebuah bot nelayan berjaya digagalkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Labuan, kelmarin.
Pengarah Zon Maritim Labuan, Kapten Maritim Izwanhadi Idros, berkata, tangkapan itu hasil maklumat risikan dan pemantauan berterusan menerusi Op Sejahtera 1/2022 dan Op Tiris 3.0.
“Kira-kira jam 5.30 pagi, bot ronda Maritim Malaysia mengesan sebuah bot nelayan yang mencurigakan di perairan Labuan sebelum menahan dan menjalankan pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati dua penumpang wanita itu berada di atas bot berkenaan dengan dokumen pengenalan diri yang diragui kesahihannya, manakala nakhoda bot pula memiliki dokumen Pas Lawatan Sosial IMM13,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, bot itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, serta Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002.
Nakhoda bersama dua wanita terbabit, dokumen pengenalan diri dan vesel nelayan itu telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Labuan untuk siasatan lanjut.
Izwanhadi menegaskan, Maritim Malaysia akan terus memperkukuh rondaan dan risikan di perairan Labuan bagi mengekang aktiviti pemerdagangan orang, penyeludupan migran dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Maritim Malaysia komited memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara terpelihara serta tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang maritim,” tegasnya. – MalaysiaGazette















