Kemalangan di Jalan Mount Erskine, Pulau Pinang membabitkan empat buah kenderaan termasuk Porsche Macan.

GEORGE TOWN – Dua penunggang motosikal cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan termasuk sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Porsche Macan di Jalan Mount Erskine di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 8.10 pagi ketika pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza berusia 48 tahun itu dalam perjalanan dari arah Mount Erskine menuju ke Batu Uban.

“Tiba-tiba sebuah SUV Porsche Macan dari arah bertentangan memasuki laluan Toyota Avanza dan melanggar kenderaan itu serta dua buah motosikal lain.

“Impak kemalangan itu menyebabkan penunggang motosikal berumur 33 dan 48 tahun masing-masing cedera ringan manakala pemandu MPV serta pemandu SUV berusia 32 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan lanjut mendapati punca kejadian dipercayai berlaku semasa pemandu SUV ingin mengelak sebuah motosikal lain yang masuk ke laluannya menyebabkan dia hilang kawalan sehingga terlanggar MPV dan dua motosikal di laluan bertentangan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, hasil pemeriksaan lanjut mendapati pemandu SUV itu bebas daripada pengaruh alkohol dan dadah.

Malah, semakan ke atas telefon bimbit pemandu juga tidak menjumpai sebarang rekod penggunaan telefon semasa kejadian.

Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 60 saat yang memaparkan kejadian berkenaan, termasuk keadaan sebahagian SUV terbabit berada di atas sebuah motosikal di lokasi kemalangan.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast