Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sayap pemuda Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menzahirkan bantahan tegas terhadap pelantikan seorang selebriti sebagai Profesor Adjung di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Pemangku Ketua Wira Putra, Dr. Mohamad Izwan Zainal berkata, setiap pelantikan akademik perlu berpaksikan prinsip keilmuan dan integriti akademik, bukannya populariti atau publisiti semata-mata.

Katanya, walaupun Putra menghormati sumbangan dan pencapaian individu berkenaan dalam bidang seni, UiTM sebagai institusi unggul bangsa Melayu harus mengekalkan maruah serta standard ilmiahnya tanpa tunduk kepada tekanan persepsi luar.

“UiTM bukan sekadar institusi pendidikan tinggi, tetapi lambang perjuangan dan kebangkitan bangsa Melayu yang suatu ketika dahulu dinafikan peluang ke universiti. Ia dibina atas semangat menuntut ilmu, bukan sorakan populariti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, setiap keputusan pentadbiran universiti yang melibatkan pelantikan akademik mestilah menghormati asal-usul perjuangan UiTM sebagai menara ilmu bangsa dan bukan dijadikan pentas hiburan atau alat promosi yang boleh mencemarkan tujuan penubuhannya.

Tambahnya, pelantikan Profesor Adjung merupakan pengiktirafan kehormat kepada individu luar institusi yang memiliki kepakaran, pengalaman luas atau sumbangan besar dalam bidang tertentu.

Ia bertujuan menghubungkan dunia akademik dengan industri dan masyarakat agar pelajar serta penyelidik mendapat manfaat daripada pengalaman sebenar dunia profesional.

Namun, Mohamad Izwan menegaskan, pelantikan tersebut perlu dibuat berdasarkan merit dan relevansi ilmu, bukan atas dasar pengaruh media atau status selebriti.

“Pelantikan tanpa garis panduan akademik yang jelas akan menimbulkan persepsi negatif terhadap UiTM dan menjejaskan moral warga akademia yang telah berkorban bertahun-tahun dalam penyelidikan, pengajaran dan penerbitan ilmiah,” ujarnya.

Sehubungan itu katanya, Wira Putra menuntut pihak UiTM memberikan penjelasan bertulis berhubung proses pelantikan Profesor Adjung berkenaan serta mendedahkan kriteria kelayakan akademik dan profesional bagi menjamin ketelusan.

Dr. Mohamad Izwan Zainal

Mohamad Izwan turut mencadangkan agar pelantikan berkenaan ditangguhkan serta-merta sehingga semakan semula garis panduan dan prosedur dilaksanakan dengan lebih telus dan berprinsip.

Beliau menegaskan, isu tersebut bukan bersifat peribadi atau kebencian terhadap mana-mana individu, sebaliknya melibatkan maruah ilmu dan integriti akademik negara.

“UiTM mesti kekal sebagai menara ilmu bangsa, bukan pentas glamor atau alat politik. Apabila maruah ilmu tergadai, maka bangsa turut kehilangan arah,” tegasnya.

Tambah beliau, Putra tidak menolak kepentingan ‘ilmu jalanan’, namun menegaskan bahawa ukuran dan kriteria pelantikan mestilah seiring dengan prinsip keilmuan yang sahih. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast