Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin terus berteka-teki sama ada mahu kembali menyertai UMNO atau sebaliknya.

Bekas Ahli Parlimen Rembau itu berkata, beliau akan membuat pengumuman dan memaklumkan perkara tersebut kepada media apabila tiba masa yang sesuai.

“Nanti sudah tiba masanya saya akan maklumkan kepada media, saya akan umumkan pada masa yang sesuai,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri program wacana Rimbun 1.0, Reformasi Sistem Pendidikan Pada Zaman AI & Pemerkasaan Institusi Guru anjuran Pergerakan Pemuda UMNO di Dewan Tun Razak, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.

Khairy merupakan salah seorang ahli panel pada program itu bersama-sama bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dan dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh.

Kehadiran Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan ke WTC yang sinonim dengan UMNO itu adalah yang pertama kali selepas beliau dipecat daripada parti itu pada Januari 2023.

Sementara itu, Khairy berterima kasih kepada Dr. Muhamad Akmal yang menjemput beliau untuk bersama-sama memberikan pandangan berhubung sistem pendidikan negara menerusi program Rimbun 1.0 tersebut.

“Ini bukan program politik, dan saya pun pernah jadi Ketua Pemuda UMNO, jadi saya datang untuk bantu jayakan program ini,” katanya.

Sebelum ini, spekulasi Khairy akan kembali menyertai UMNO bertiup kencang selepas beliau dilaporkan menyatakan hasrat itu di hadapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada pertemuan di sebuah majlis baru-baru ini.

Namun, Ahmad Zahid berkata, UMNO belum membincangkan hasrat Khairy itu.

Mengakui sempat bertemu Khairy pada majlis yang dimaksudkan, Ahmad Zahid bagaimanapun enggan mengesahkan mahupun menafikan dakwaan memberi restu untuk Khairy kembali ke UMNO.

Pada Januari 2023, Khairy dipecat daripada UMNO susulan kritikannya terhadap kepimpinan tertinggi parti sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang menyaksikan beliau tewas ketika bertanding merebut kerusi Parlimen Sungai Buloh.

Bagaimanapun, sejak itu beliau berulang kali menegaskan pendirian untuk tidak menyertai mana-mana parti lain kerana kesetiaannya kepada UMNO. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast