Mahkamah Tinggi Shah Alam.

SHAH ALAM – Seorang lelaki warganegara Indonesia dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi Jenayah (2), di sini, kerana menyeludup empat migran dari negara sama, tiga bulan lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, kegiatan lelaki berusia 31 tahun itu terbongkar hasil operasi khas pihaknya di sebuah rumah di Jalan Putra Pangsapuri Mawar, Taman Putra Kajang, 29 Ogos lalu.

“Jenayah itu berjaya dipatahkan sepasukan pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas bersama Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

“Warganegara Indonesia terbabit disabitkan di bawah Seksyen 26H, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 [Akta 670],” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Zakaria berkata, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) komited untuk meneruskan usaha membanteras segala bentuk penyeludupan migran dan pemerdagangan orang.

“Tindakan undang-undang tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu, sindiket, majikan, atau pemilik premis yang menggaji, melindungi atau bersekongkol dengan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), serta warganegara asing yang memasuki atau tinggal di negara ini tanpa kebenaran sah.

“JIM juga menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada serta melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan jenayah rentas sempadan ini,” katanya.

Katanya, sebarang bentuk penglibatan sama ada secara langsung atau tidak dalam aktiviti penyeludupan migran dan pemerdagangan orang merupakan satu kesalahan serius dan boleh dikenakan tindakan sewajarnya.

“Masyarakat digesa untuk tidak melindungi atau membantu pihak yang melanggar undang-undang imigresen dan sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Maklumat berkaitan kegiatan haram boleh disalurkan melalui saluran rasmi aduan JIM.

“JIM komited untuk terus memperkukuh operasi penguatkuasaan bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara sentiasa terpelihara,” ujarnya. – MalaysiaGazazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast