KLANG – Seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun maut dipercayai ditembak di sebuah stesen minyak Petronas di kawasan Klang Selatan malam tadi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar mengesahkan pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada orang awam lebih kurang pukul 11.13 malam semalam.
“Pusat Kawalan IPD Klang Selatan menerima panggilan memaklumkan terdapat kejadian tembakan di sebuah stesen minyak di kawasan berkenaan.
“Hasil siasatan mendapati mangsa merupakan lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 34 tahun dan tidak bekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Shazeli, suspek dipercayai melepaskan beberapa das tembakan ke arah bahagian hadapan kereta mangsa sebelum peluru mengenai bahagian hadapan badan pengadu.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan motif kejadian masih dalam siasatan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Shazeli turut meminta orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah, Asisten Supritendadn Aminuddin Mahadi di talian 013-2104006 atau Bilik Gerakan IPD Klang Selatan di 03-33762222. – MalaysiaGazette
















