Ayedan kini menunaikan umrah di Tanah Suci selepas dilantik sebagai ikon dan mutawif The Mahabbah.

KUALA LUMPUR – Kumpulan nasyid baharu tanah air, Aeydan terus membuktikan penerimaaan mereka bukan sahaja dalam dunia seni tetapi juga dalam penyebaran mesej positif dan nilai murni.

Kumpulan itu kini dilantik secara rasmi sebagai Ikon dan Mutawif The Mahabbah iaitu sebuah jenama umrah tersohor yang berteraskan pendekatan tarbiah dan kasih sayang Rasulullah SAW.

Sebagai sebahagian daripada pelantikan tersebut, Aeydan kini sedang menunaikan umrah pertama mereka di bawah bimbingan The Mahabbah hingga 13 November ini sekaligus menandakan satu detik bersejarah dalam perjalanan karier serta perjuangan seni dan mesej nasihat kumpulan ini.

Wakil Aeydan, Ilham Fikri berkata, pelantikan mereka sebagai ikon dan mutawif The Mahabbah sekali gus menjadi satu pengiktirafan terhadap keperibadian dan ketokohan kumpulan itu sebagai artis muda yang berpotensi besar untuk menjadi duta mesej positif generasi baharu.

“Kami amat bersyukur dan terharu diberi peluang menjadi sebahagian daripada keluarga besar The Mahabbah. Umrah ini bukan sekadar perjalanan ibadah, tetapi perjalanan jiwa untuk memperkukuh niat kami dalam menyampaikan mesej nasihat melalui seni.

“Insya-Allah, kami akan terus membawa nilai Islamik dengan cara yang segar dan mendidik,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Aeydan yang dianggotai oleh Ilham Fikri Asri, Izwan Izzuddin Azadan, Farhan Rithauddeen, Fardeen Imran Rithauddeen dan Haikal Rahmat merupakan anak-anak kepada anggota kumpulan nasyid legenda Rabbani.

Mereka tampil sebagai generasi baharu yang menyambung legasi melalui lagu dan imej nasihat dengan gaya muzik kontemporari berjiwa Islamik.

Aeydan telah berjaya menghasilkan dua single popular iaitu Bintang dan Purnama yang mendapat sambutan baik di media digital dan siaran radio Islamik tempatan.

Sementara itu, dalam tempoh singkat penubuhan mereka dalam karier seni, Aeydan telah berjaya menghasilkan dua single popular iaitu Bintang dan Purnama yang mendapat sambutan baik di media digital dan siaran radio Islamik tempatan.

Kejayaan ini membuktikan kemampuan mereka untuk menembusi pasaran muzik moden tanpa meninggalkan nilai nasihat dan keindahan seni Islamik.

Mengulas lanjut, Ilham Fikri menambah, dengan sokongan padu peminat dan penggiat industri nasyid, langkah Aeydan ke Tanah Suci di bawah The Mahabbah bukan hanya simbol kejayaan, tetapi juga permulaan kepada babak baharu dalam perjuangan seni Islamik moden.

“Aeydan terus membuktikan bahawa walau baru bertapak, mereka memiliki jiwa besar dan visi jelas untuk menyinari dunia muzik tempatan dan antarabangsa dengan lagu dan imej nasihat yang penuh makna,” ujarnya.

The Mahabbah pula berkata, pelantikan kumpulan itu sebagai ikon dan mutawif bukan sekadar penghormatan tetapi juga sebagai simbol generasi muda yang ingin menghidupkan kembali semangat positif dan mesej kasih sayang melalui amal dan perjalanan rohani.

“Aeydan bukan sekadar kumpulan nasyid tetapi mereka adalah suara anak muda yang membawa mesej kasih sayang Rasulullah SAW melalui seni dan kini melalui ibadah.

“Kami percaya langkah mereka ke Tanah Suci ini akan membuka lebih banyak hati untuk mendekati nilai-nilai kebaikan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast