Pekerja MARDI melakukan kerja-kerja di sekitar tanaman pokok pisang ketika lensa Malaysia Gazette di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Serdang, Selangor. foto MOHD ADZLAN, 27 OKTOBER 2021.

KOTA KINABALU – Teknologi makanan berasaskan pisang boleh menjadi satu alternatif bagi menangani kekurangan zat makanan yang menjadi satu cabaran kesihatan global paling mendesak hingga menjejaskan lebih daripada dua bilion penduduk di seluruh dunia.

Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Jumardi Roslan berkata, teknologi makanan memainkan peranan penting dalam menyediakan penyelesaian
yang mampan, berpatutan, dan berskala besar untuk mengatasi isu ini.

Jumardi ketika menyampaikan syarahan di Universiti Negeri Malang, Indonesia baru-baru ini.

“Pisang termasuk kulit, batang palsu (pseudostem), dan jantung pisang berpotensi besar sebagai bahan mentah inovatif untuk pembangunan makanan fungsian.

“Oleh itu, perlunya penyelidikan lanjut mengenai pisang khususnya bagi memastikan inovasi berasaskan pisang dapat dikembangkan dengan lebih meluas serta memberi impak positif terhadap kesihatan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan bertemakan “Teknologi Makanan Berasaskan Pisang untuk Menangani Kekurangan Zat Makanan” dalam satu acara syarahan jemputan di Universiti Negeri Malang, Indonesia baru-baru ini.

Dalam syarahan tersebut, beliau turut memperkenalkan beberapa prototaip produk berasaskan pisang.

Antaranya tepung pisang hijau untuk bubur segera berindeks glisemik rendah, biskut tinggi serat daripada tepung kulit pisang, pasta dan mi berasaskan pisang bagi kawalan glisemik, makanan terapeutik sedia guna untuk rawatan kekurangan nutrisi, dan yogurt simbiotik serta snek sihat yang diperkaya dengan serat pisang.

Selain daripada nilai pemakanannya, beliau turut membincangkan cabaran utama dalam pembangunan produk tersebut, termasuk aspek keselamatan makanan, penerimaan budaya, dan Kemudahan capaian.

Syarahan jemputan anjuran Program Sains Pemakanan, Fakulti Matematik dan Sains Semula Jadi (FMIPA), Universiti Negeri Malang itu merupakan salah satu komitmen antara universiti tersebut bersama UMS dalam memperkukuhkan kerjasama
akademik antarabangsa serta memperkasa inovasi dalam bidang pemakanan dan teknologi makanan bagi menyokong pembangunan kesihatan awam yang mampan. – MalaysiGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast