Datuk Mahfuz Omar. Sheraton Move party hopping anti-party hopping dewan rakyat parliament
Mahfuz Omar

SHAH ALAM – Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar mengingatkan semua ahli parti agar kekal berdisiplin dan tidak dikuasai emosi susulan insiden kekecohan yang berlaku pada Konvensyen Amanah Nasional 2025 di sini pagi tadi.

Menurut Mahfuz, semangat perjuangan yang tinggi dalam kalangan ahli amat dihargai namun ia perlu dizahirkan dengan cara yang berhemah dan berasaskan hujah serta ilmu.

“Pagi tadi, saya kira semua terkejut. Bagi saya, itu menunjukkan perjuangan yang hidup, sampai diviralkan dengan cepat oleh media.

“Ini menunjukkan semangat perjuangan yang sangat tinggi. Cuma pesanan saya, kita kena ingat bahawa kita ini parti Amanah bukan parti amarah.

“Biarlah kita berlawan dengan hujah, akal dan ilmu supaya akhirnya kita mendapat satu rumusan yang baik,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan di konvensyen berkenaan hari ini.

Terdahulu, suasana konvensyen yang berlangsung di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia Dan Kebudayaan Negeri Selangor di sini tegang apabila beberapa perwakilan mendesak agar usul mengenai pemilihan parti dibahaskan segera.

Pengerusi Tetap Amanah, Azhar Abd Shukur dilaporkan beberapa kali menenangkan keadaan sebelum membenarkan dua perwakilan membentangkan cadangan masing-masing berkaitan pemilihan parti.

Ketegangan kembali tercetus apabila wujud perbezaan pandangan yang mana seorang perwakilan mencadangkan agar pemilihan parti ditangguhkan selepas tahun 2026, manakala seorang lagi mahu ia diteruskan seperti dijadualkan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Amanah, Faiz Fadzil dalam ucapannya menjelaskan, jawatankuasa usul telah menerima dua usul berbeza mengenai pemilihan parti yang dijadualkan tahun hadapan.

“Ada kawasan yang mengusulkan penangguhan pemilihan dan ada juga yang mahu ia diteruskan. Jawatankuasa usul telah bermesyuarat dan menerima kedua-dua usul ini sebagai cadangan.

“Jadi, apabila kedua-dua usul diterima, kita berpandangan tidak perlu lagi dibahaskan. Soal bila pemilihan diadakan bergantung kepada strategi pilihan raya.

“Yang paling penting, kita mahu membawa Amanah menang dalam pilihan raya akan datang dan terus memerintah bersama Pakatan Harapan serta kerajaan perpaduan,” ujarnya.

Konvensyen Amanah Nasional 2025 yang berlangsung selama dua hari itu dihadiri pimpinan tertinggi parti termasuk presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu serta para perwakilan dari seluruh negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast