KLUANG – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) akan melaksanakan banci ekonomi yang keenam melibatkan seluruh negara bermula awal Mac tahun depan.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, persiapan di peringkat akhir sedang dilaksana termasuk sesi latihan, libat urus bersama-sama pemain industri dan persatuan peniaga.
“Bancian ini untuk menyokong perlaksanaan negara dalam dasar-dasar perindustrian negara dan juga untuk kita membantu inisiatif yang telah pun dinyatakan dalam Rancangan Malaysia ke-13.
“Terdapat beberapa program yang perlu kita ukur keberkesannya misalnya bagaimana kita boleh melihat perkara berkaitan dengan renewable energy, idea yang berpotensi untuk kita lihat sebagai industri high growth,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Statistik negara 2025 Peringkat Negeri Johor di Gunung Lambak di sini hari ini. – MalaysiaGazette
















