JOHOR BAHRU – Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) mencekup seorang duda warga emas dan janda kerana berkhalwat di sebuah rumah kampung dalam sebuah daerah di negeri itu semalam.
JAINJ dalam satu kenyataan memberitahu, serbuan dilakukan pukul 9 pagi dengan melakukan kepungan di sekeliling rumah oleh penguat kuasa JAINJ.
“Penguat kuasa mengetuk pintu sambil memanggil kuat-kuat. Pintu dibuka sekerat oleh seorang lelaki. Apabila mengetahui yang datang itu adalah penguat kuasa, dia cuba menutup pintu semula tetapi tidak berjaya.
“Penguat kuasa berjaya masuk ke dalam setelah memperkenalkan diri. Lelaki itu nampak ketakutan,” menurut kenyataan tersebut.
Pemeriksaan dalam rumah menemukan seorang kanak-kanak umur empat tahun sedang tidur di ruang tamu.
Tambah kenyataan itu, pemeriksaan dalam bilik tidak menjumpai sesiapa sebelum mengetuk pintu bilik air dan keluar seorang wanita dalam keadaan berkemban.
JAINJ memaklumkan, wanita tersebut nampak ketakutan dan dipercayai baru lepas mandi.
“Siasatan mendapati lelaki berkenaan berusia 70 tahun berstatus duda kematian isteri. Wanita pula 30-an berstatus janda bercerai dan mempunyai seorang anak.
Jelas JAINJ, wanita berkenaan yang berasal dari daerah lain sudah dua hari datang ke rumah duda tersebut.
Pasangan itu memaklumkan memang ada perancangan untuk bernikah namun mendakwa ada urusan yang masih belum selesai.
Pasangan itu ditangkap atas kesalahan khalwat Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana disyaki berkhalwat dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.- MalaysiaGazette















