JOHOR BAHRU – Debaran menjelang aksi separuh akhir Piala FA 2025 antara Kucing City FC (KCFC) dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Negeri Sarawak, Kuching malam ini semakin memuncak.
Pertemuan itu merupakan misi besar KCFC dalam merebut tiket ke pentas final.
Menariknya, sokongan bukan sahaja datang dari bumi Kenyalang, malah lebih 40,000 rakyat Sarawak di negeri ini turut meniup semangat agar KCFC mendapat kemenangan selesa.
Tinjauan di sekitar bandar raya ini mendapati rata-rata rakyat Sarawak sudah bersedia menantikan detik penentu itu.
Bagi Raziman Abdullah, meskipun sudah lama menetap di negeri ini, semangat kecintaan terhadap pasukan negeri kelahirannya tidak pernah pudar.
“Saya mengharapkan KCFC boleh bersaing dengan JDT dan kemenangan berpihak kepada KCFC. Harapan besar untuk timbal balik nanti. Hidup KCFC,” katanya ketika ditemui.
Seorang lagi penyokong, Omar David berkata, pertemuan malam ini menjadi saksi perjuangan moral seluruh rakyat Sarawak di perantauan.
“Dari dulu, sokongan kami tidak pernah hilang. Harap separuh akhir pertama ini KCFC menang di gelanggang sendiri,” ujarnya.
Bagi Denis Sankan, kekuatan sokongan rakyat Sarawak di Johor memberi keyakinan tambahan.
“Kami penyokong tegar KCFC. Kami mahu KCFC mengalahkan JDT. Walaupun lama tinggal di Johor, semangat Sarawak tetap kuat,” jelasnya.
Bagi mereka katanya, stadium negeri tersebut yang dipenuhi sorakan penyokong Sarawak ibarat tembok vokal yang mampu menggugat lawan.
“Walaupun JDT hadir dengan reputasi gergasi bola sepak tempatan, keyakinan penyokong KCFC tetap tinggi, malah ada yang menyifatkan perlawanan malam ini sebagai ‘pertembungan maruah’.
Tontonan awam di skrin besar di beberapa lokasi sekitar Johor turut dijangka menceriakan malam penuh dramatik buat anak Sarawak di perantauan.- MalaysiaGazette














