KUANTAN – Seorang wanita maut akibat tersepit setelah kereta dinaiki terbabas dan terbalik di kilometer 44.2 Lebuhraya Karak-Genting Sempah, Bukit Tinggi, Janda Baik, Bentong pagi ini.
Pegawai Perhubungan Awam Bomba Pahang, Zulfadli Zakaria, pihaknya menerima laporan kejadian itu kira-kira pukul 8 pagi membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Bezza:
Beliau berkata, sepasukan tujuh anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong dikejarkan ke lokasi sejurus menerima laporan.
“Mangsa dibawa keluar menggunakan alatan penyelamat, namun disahkan telah meninggal dunia oleh petugas Kesihatan yang berada di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, beliau berkata, seorang lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan yang berada dalam kenderaan tersebut turut mengalami kecederaan akibat kemalangan itu.
Kedua-dua mangsa telah dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut. – MalaysiaGazette
















