KUALA LUMPUR – Operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) tragedi bot membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) yang karam di perairan sempadan Malaysia-Thailand menemui sembilan mangsa petang semalam.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, tiga mangsa ditemui hidup manakala enam lagi meninggal dunia di sekitar perairan Langkawi.
“Dua lelaki terapung diselamatkan nelayan tempatan berhampiran Kuala Muda Teriang sebelum dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Langkawi untuk tindakan lanjut.
“Empat lagi mayat wanita ditemukan oleh kapal KM SIANGIN dan dibawa ke Jeti Kilang Semen Teluk Ewa sebelum diserahkan kepada polis.” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada petang sama, mayat seorang kanak-kanak perempuan, seorang lelaki dan seorang wanita ditemui di lokasi berasingan oleh bot APMM dan Jabatan Perikanan.
Menurutnya, kawasan pencarian diperluas kepada 170 batu nautika persegi dengan penubuhan Pangkalan Hadapan CARILAMAT di Pejabat Operasi Maritim Kedah dan Perlis.
Maritim Malaysia meminta komuniti maritim segera melaporkan sebarang maklumat atau penemuan ke talian 999 atau 04-966 2750. Operasi disambung semula pagi esok. – MalaysiaGazette















