KOTA TINGGI – Malaysia tidak boleh berasa selamat atau terus berada dalam zon selesa hanya kerana negara berada dalam keadaan aman dan stabil.
Sebaliknya Menteri Pertahanan, Datuk Mohamed Khaled Nordin berkata, negara perlu terus memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan berikutan ketidaktentuan geopolitik dan perdagangan dunia.
Ahli Parlimen Kota Tinggi itu berkata, dunia kini berdepan cabaran hubungan antarabangsa yang semakin kompleks, termasuk peperangan perdagangan antara negara dan Malaysia tidak terkecuali daripada menerima kesannya.
“Walaupun negara kita kelihatan aman dan damai, keadaan di peringkat antarabangsa tidak semestinya begitu. Jika dunia luar bergolak, kesannya tetap akan sampai kepada kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Peluncuran Sekolah Angkat Madani di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Lok Heng, di sini, hari ini.
Program berkenaan turut dihadiri warga pendidik, ibu bapa, murid serta agensi berkaitan pertahanan dan pendidikan.
Menurut Mohamed Khaled, peranan Kementerian Pertahanan amat penting dalam memastikan kedaulatan negara terus terpelihara dan rakyat hidup aman.
Melalui program berkaitan pendidikan dan masyarakat seperti Sekolah Angkat Madani katanya, usaha membina kesedaran terhadap pertahanan negara dapat diperkukuh sejak peringkat sekolah.
“Bila negara selamat dan aman, rakyat dapat hidup makmur. Kanak-kanak dapat ke sekolah tanpa rasa takut dan keluarga boleh meneruskan kehidupan seharian dengan tenang,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pameran peralatan ketenteraan dalam program seperti itu membantu masyarakat melihat sendiri sebahagian aset pertahanan negara.
Katanya, aset yang dipamerkan hanya sebahagian kecil daripada kekuatan sebenar Angkatan Tentera Malaysia (ATM), namun cukup menunjukkan komitmen kerajaan terhadap keselamatan.
Mengulas cabaran serantau, Mohamed Khaled berkata, tuntutan bertindih di Laut China Selatan memerlukan pemantauan berterusan dan anggota tentera sentiasa ditugaskan untuk berkawal bagi mempertahankan wilayah negara.
Di pantai timur Sabah pula katanya, kerajaan meneruskan penugasan anggota keselamatan berikutan ancaman pencerobohan lampau selain Filipina masih meneruskan tuntutannya terhadap Sabah.
“Kita berkongsi sempadan dengan lima negara iaitu Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia dan Brunei. Kita dapat tidur lena hari ini kerana anggota tentera kita sentiasa menjaga keselamatan negara,” katanya sambil menyeru masyarakat menghargai pengorbanan pasukan pertahanan. – MalaysiaGazette















