KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Malaysia yang ditahan di sebuah pos pemeriksaan di Selatan Thailand bersama 75 kilogram (KG) ketamin di dalam keretanya pada Khamis lalu dipercayai bertindak sebagai ‘trasporter’.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, semakan mendapati suspek berusia 25 tahun beralamat di Sungai Petani, Kedah dan mempunyai empat rekod jenayah lampau.
“Pihak Subdivisyen 3, Biro Pembanterasan Narkotik (PNSB) Thailand telah memaklumkan mengenai tangkapan suspek ketika melalui sekatan jalan raya di negara itu.
“Suspek dipercayai berperanan sebagai ‘transporter’ yang membawa bekalan dadah bagi sindiket yang beroperasi di Malaysia dan Thailand.
“Siasatan juga mendapati, suspek menggunakan laluan sah di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bukit Kayu Hitam bagi keluar masuk ke Thailand,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tambah Hussein, polis masih lagi menyiasat tempoh suspek terlibat dalam kegiatan itu bagi membantu sindiket sebagai penghantar termasuk berapa kali dia melakukan tugasan tersebut.
Sebelum ini media melaporkan, seorang lelaki warga Malaysia ditahan di sebuah pos pemeriksaan di wilayah Chumpon selepas polis menemui 75kg dadah jenis ketamin bernilai lebih Baht 70 juta (RM9 juta) di dalam but keretanya.
Suspek mendakwa, dia hanya diupah untuk memandu kereta tersebut pulang ke Malaysia dan tidak mengetahui wujud dadah yang disembunyikan, menurut berita Thai Newrom yang memetik saluran televisyen Channel 7, semalam.
Media turut melaporkan, ketika ditahan suspek mendakwa hanya diupah individu tidak dikenali untuk memandu kereta tersebut dari Bangkok ke Malaysia dengan bayaran RM5,000. – MalaysiaGazette
















