Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah ketika menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Tahunan Ke-6 China–Malaysia Port Alliance (CMPA).

SEPANG – Malaysia komited untuk memperkukuhkan kerjasama strategik dengan China demi membangunkan pelabuhan generasi baharu yang pintar, mampan dan berdaya saing.

Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, komitmen tersebut sejajar dengan transformasi global industri maritim yang kini digerakkan oleh pendigitalan dan tenaga hijau.

Jelasnya, pelabuhan tidak lagi berfungsi sekadar pintu masuk perdagangan sebaliknya kini menjadi ekosistem inovasi yang menghubungkan industri, masyarakat dan peluang ekonomi baharu.

“Pelabuhan perlu dilihat sebagai nod dinamik dalam ekosistem digital global yang digerakkan oleh automasi, data besar, kecerdasan buatan (AI) serta tenaga boleh diperbaharui.

“Malaysia komited memacu inovasi ini melalui dasar yang menyokong pembangunan infrastruktur pelabuhan pintar, integrasi logistik lancar dan pertumbuhan maritim mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Tahunan Ke-6 China–Malaysia Port Alliance (CMPA), hari ini.

Hasbi berkata, sejak ditubuhkan pada 2015, CMPA kini berjaya menjadi model kerjasama maritim di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

“Melalui platform CMPA, pelabuhan kedua-dua negara terus memperkukuh hubungan perniagaan, berkongsi pengetahuan serta kecemerlangan operasi, sekali gus membuka jalan ke arah kerjasama teknologi, logistik dan pelabuhan hijau,” katanya lagi.

Tambah beliau, hubungan Malaysia–China yang memasuki usia 51 tahun kekal utuh dan berkembang pesat dengan nilai perdagangan dua hala mencecah RM484 bilion pada 2024, bersamaan 16.8 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia.

Ujarnya, perkembangan tersebut selaras dengan penandatanganan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China 3.0 (ACFTA 3.0) yang membuka peluang baharu dalam perdagangan, pelaburan, ekonomi digital dan pertumbuhan hijau.

“ACFTA 3.0 mengukuhkan usaha Malaysia membina pelabuhan yang pintar, lestari dan berdaya saing, dalam rangka perdagangan serantau yang inklusif serta berpaksikan kemakmuran bersama,” katanya.

Dalam masa sama, Hasbi juga berkongsi tentang kemajuan pelabuhan utama negara, antaranya Pelabuhan Klang yang kini tersenarai ke-10 tersibuk dunia dengan 14.64 juta TEUs dan Pelabuhan Tanjung Pelepas di tempat ke-15 dengan 12.25 juta TEUs.

Selain itu katanya, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka siap akhir 2026 juga bakal menjadi pemangkin penting kepada jaringan logistik nasional dan memperkukuh integrasi antara Pelabuhan Klang dan Kuantan Port.

“ECRL akan mengurangkan masa penghantaran dan kos logistik, seterusnya memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab logistik dan pemindahan muatan serantau,” katanya lagi.

Sebagai rekod, mesyuarat CMPA kali ini turut mengetengahkan dua forum utama iaitu Forum Transformasi Digital Pelabuhan dan Forum Kerjasama Industri Kapal Persiaran China–Malaysia.

Ia diadakan bersempena Pameran Pengangkutan Asia (Transport Expo Asia, TXA 2025) yang bermula esok di lokasi sama.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast