ALOR SETAR – Seramai 4,941 penjawat awam dan anggota pentadbiran negeri Kedah bakal menerima bantuan khas kewangan berjumlah RM2,000 sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri terhadap khidmat dan dedikasi mereka.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, bayaran itu akan dibuat secara berperingkat pada Januari dan Mac 2026, melibatkan peruntukan keseluruhan RM10 juta.
“Kerjasama erat antara kepimpinan politik dengan jentera pentadbiran ialah kunci kejayaan kita dalam membangunkan negeri Kedah yang kita cintai ini.
“Sebagai menghargai usaha keras ini, sukacita diumumkan kerajaan negeri telah meluluskan bantuan khas kewangan ini dengan jumlah keseluruhan peruntukan bagi bantuan ini adalah sebanyak RM10 juta,” katanya semasa membentangkan Belanjawan Kedah 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah hari ini.
Dalam sesi tersebut Muhammad Sanusi membentangkan Bajet Kedah 2026 sebanyak RM1.33 bilion dengan slogan Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua. – MalaysiaGazette
















