YAB Perdana Menteri juga Presiden Parti Keadilan Rakyat, Dato' Seri Anwar Ibrahim semasa pengumuman calon PKR bagi PRN Sabah 2025 di Kota Kinabalu, Sabah. 9 November 2025. AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri.

KOTA KINABALU – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi mengumumkan 10 calon daripada parti itu untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Anwar yang juga Perdana Menteri ketika mengumumkan perkara berkenaan di hadapan kira-kira 5,000 penyokong di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini berkata kerusi itu adalah sebahagian daripada 23 kerusi yang akan ditandingi Pakatatan Harapan (PH) pada PRN berkenaan nanti.

Dua daripada calon yang diumumkan itu merupakan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing, iaitu Datuk Peto Galim (Inanam) dan Datuk George Hiew Vun Zin di DUN Karamunting.

Sementara itu, bekas Timbalan Menteri Kewangan II Datuk Yamani Hafez Musa yang juga anak Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman akan bertanding di kerusi DUN Sindumin, manakala bekas Ahli Parlimen Putatan yang juga Ketua Cabang Keadilan Putatan Datuk Awang Husaini Sahari pula akan bertanding di Petagas.

PKR turut mengetengahkan calon baharu iaitu Datuk Ruji Ubi, yang juga bekas pegawai kanan kerajaan yang pernah memegang beberapa jawatan penting termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pendidikan untuk bertanding di Merotai.

Calon lain ialah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Kemabong Datuk Jamawi Jaffar (Melalap), bekas Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pelancongan Sabah Sdn Bhd Thonny Chee (Api-Api) dan Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Libaran Abdul Said Pimping (Gum-Gum).

Turut dicalonkan ialah bekas Penolong Pegawai Ehwal Ekonomi Lembaga Koko Malaysia Romansa Lamin (Segama) dan Rufinah Pengeran, seorang bekas guru yang akan bertanding di Tulid.

Berikut senarai calon PKR pada PRN Sabah ke-17 yang diumumkan malam ini:

N18 Inanam Datuk Peto Galim

N20 Api-Api Thonny Chee

N23 Petagas Datuk Awang Husaini Sahari

N35 Sindumin Datuk Yamani Hafez Musa

N42 Melalap Datuk Jamawi Jaffar

N44 Tulid Rufinah Pengeran

N50 Gum-Gum Abdul Said Pimping

N54 Karamunting Datuk George Hiew Vun Zin

N61 Segama Romansa Lamin

N72 Merotai Datuk Ruji Ubi.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast