Ahmad Samsuri Mokhtar

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri Terengganu membentangkan Belanjawan 2026 dengan fokus pada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan sosial, memperuntukkan RM1.938 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM450 juta untuk pembangunan, dengan hasil yang dianggarkan bernilai RM1.998 bilion.

Menteri Besar Terengganu, YAB Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata belanjawan itu menekankan pengukuhan tadbir urus negeri, daya tahan ekonomi, kesejahteraan sosial bagi mencapai pertumbuhan ekonomi antara 3.4 hingga 4.2 peratus serta peningkatan hasil negeri.

Beliau menambah, Terengganu kini berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran tersebut, berdasarkan beberapa pencapaian utama.

Sehingga kini, Terengganu mencatat prestasi ekonomi kukuh dengan hasil negeri meningkat 11.9 peratus kepada RM264.88 juta setahun bagi 2021 hingga 2024, ekonomi berkembang purata 4.1 peratus setahun, pelaburan kumulatif naik 48.2 peratus kepada RM14.3 bilion sehingga Jun 2025, dan bilangan perniagaan bertambah 12.7 peratus kepada 38,448 syarikat.

Selain itu, kadar pengangguran menurun kepada 2.8 peratus pada suku kedua 2025, manakala negeri ini terus mencatat Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia tertinggi dengan skor 8.64 dan peratus kebahagiaan meningkat kepada 89.4 peratus, menunjukkan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan sosial.

Samsuri menegaskan sokongan warga sektor awam, pihak swasta, dan rakyat merupakan faktor utama kejayaan negeri.

“Kerajaan Negeri sentiasa komited meningkatkan hasil janaan negeri melalui dasar fiskal, program dan projek yang seimbang antara rangsangan ekonomi dan sosial demi kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Belanjawan 2026 mengusung tema “Memacu Potensi, Melonjak Prestasi” selaras dengan aspirasi negeri untuk mengekalkan kedudukan sebagai negeri paling bahagia di Malaysia. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast