KUALA LUMPUR – UMNO Kedah menyifatkan Belanjawan Kedah 2026 berjumlah RM1.33 bilion yang dibentangkan semalam masih jauh daripada menjadi bajet pembangunan yang benar-benar menyentuh keperluan rakyat.
Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, secara keseluruhan, bajet itu menunjukkan jurang besar antara hasil dan perbelanjaan negeri dan banyak bergantung kepada Kerajaan Persekutuan bagi menampung projek infrastruktur dan kemudahan asas.
Dalam masa sama, menurutnya, sumber utama hasil negeri masih datang daripada tanah dan jualan aset, bukan daripada sektor industri atau pelaburan bernilai tinggi.
“Ini menandakan ekonomi Kedah masih belum keluar daripada struktur lama dan masih belum bergerak ke arah ekonomi moden,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor membentangkan Belanjawan 2026 berjumlah kira-kira RM1.33 bilion bagi tujuan pengurusan dan pembangunan negeri tahun hadapan.
Menurut Muhammad Sanusi, peruntukan tersebut melibatkan perbelanjaan mengurus, Kumpulan Wang Pembangunan Negeri, Kumpulan Wang Pembangunan Hutan dan Kumpulan Wang Bekalan Air.
Sementara itu, Shaiful Hazizy berkata, sebahagian besar peruntukan dalam Belanjawan Kedah 2026 digunakan untuk urusan operasi dan tanggungan, manakala ruang untuk pelaburan baharu agak terhad.
Tambahnya, banyak projek penting seperti jalan raya dan bekalan air masih bergantung kepada geran serta pinjaman daripada Kerajaan Pusat.
Sementara itu, jelasnya, program sosial, pendidikan dan belia pula banyak dibiayai oleh badan luar seperti zakat, yayasan dan syarikat korporat.
“Ini menggambarkan keupayaan kewangan kerajaan negeri yang masih lemah untuk menanggung tanggungjawab sosial secara menyeluruh,” katanya.
Dalam masa sama, ujarnya, Belanjawan Kedah 2026 juga belum memperlihatkan strategi jelas bagi menarik pelaburan besar atau membangunkan sektor baharu yang boleh membawa pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi jangka panjang.
Tegasnya, Kedah perlu berani keluar daripada zon selesa dan merangka pelan ekonomi yang lebih progresif dan berasaskan industri masa hadapan.
“UMNO Kedah berpandangan bahawa Belanjawan 2026 ini adalah bajet untuk mengekalkan pentadbiran, bukan bajet untuk mencipta perubahan.
“Negeri ini memerlukan hala tuju ekonomi yang lebih besar, disokong oleh pelaburan baharu, projek strategik dan kepimpinan yang berani membuat keputusan sukar demi masa depan rakyat Kedah,” katanya.
Tegas beliau, UMNO Kedah akan terus memainkan peranan sebagai pembangkang yang bertanggungjawab dalam menyokong apa yang baik dan menegur dengan fakta apabila dasar kerajaan negeri tidak berpihak kepada rakyat.
“Kami percaya bajet yang baik bukan sekadar menutup akaun negeri dengan angka yang cantik, tetapi memastikan setiap sen peruntukan benar-benar diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat di bawah,” katanya. – MalaysiaGazette
















