Gambar ihsan Maritim.

LANGKAWI – Empat lagi mayat ditemukan hari ini dalam operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) insiden bot yang dipercayai membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) karam di perairan sempadan Malaysia-Thailand baru-baru ini.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, operasi yang disambung semula pada pukul 7.30 pagi itu melibatkan kawasan pencarian yang diperluas kepada 272.78 batu nautika persegi.

Beliau berkata, setakat pagi ini, empat mayat ditemukan di beberapa lokasi berbeza sekitar perairan Langkawi.

“Pada pukul 10.40 pagi, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi menerima laporan daripada orang awam mengenai penemuan mayat lelaki dewasa berhampiran Pulau Beras Basah. Bot BENTENG 7 digerakkan ke lokasi dan mayat dibawa ke jeti Maritim Malaysia sebelum diserahkan kepada pihak polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tidak lama kemudian, kapal KM SIANGIN menemukan satu mayat kanak-kanak lelaki terapung di perairan Tanjung Chincin yang diserahkan kepada Bot PERKASA 1226 dan dibawa ke Jeti Teluk Ewa untuk tindakan lanjut.

“Beberapa minit selepas itu, KM SIANGIN turut menemukan satu lagi mayat yang belum dikenal pasti identitinya di lokasi sama dan telah diserahkan kepada Bot Kevlar milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan dibawa ke Jeti Teluk Ewa,” katanya.

Pada pukul 11.20 pagi pula, Bot Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) FCB1331 melaporkan penemuan satu lagi mayat kanak-kanak lelaki di kawasan Tanjung Belua. Mayat tersebut turut diserahkan kepada pihak polis selepas dibawa ke jeti Maritim Malaysia.

Romli menegaskan, Maritim Malaysia bersama semua agensi terlibat kekal komited meneruskan usaha mencari mangsa yang masih belum ditemui.

“Walaupun keadaan laut bergelora dan keluasan kawasan pencarian menjadi cabaran utama, operasi diteruskan dengan mengutamakan aspek keselamatan serta ketepatan pencarian. Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Menurut beliau, seramai 130 anggota dengan 11 aset pelbagai agensi, termasuk KM SIANGIN, Bot PETIR 81, Bot PERKASA 1226, Bot BENTENG 07 dan pesawat Bombardier CL 415 dikerahkan dalam operasi hari ini.

Turut membantu operasi ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui PSC 19, PSC 23 serta pesawat Beechcraft KingAir 350 milik Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM, TLDM dengan FCB 1331, JBPM dengan Bot Kevlar, serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang menggerakkan Bot RIB. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast