KUALA LUMPUR – Pesakit kanser, Nassry Mardee Ismail atau lebih dikenali sebagai Cikgu E yang tular dengan kisah perjuangannya melawan tiga jenis kanser meninggal dunia hari ini,
Perkhabaran duka tersebut dikongsikan melalui laman Facebook di mana bekas guru dan usahawan itu yang berusia 45 tahun itu.
Menerusi hantaran dimuat naik di laman sosial sama, pengurusan jenazah akan dilaksanakan di Masjid Al-Ansar, Meru dan Allahyarham dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Meru Raya.
“Abah dikafankan oleh ahli keluarga di Masjid Al-Ansar, Meru. Abah disembahyangkan di Masjid Al Ansar, Meru pada pukul 7.30 petang,” ujar hantaran itu.
Kisah Cikgu E sebelum ini tular apabila dia enggan menyerah kalah melawan tiga jenis barah iaitu kanser buah pinggang, kanser kelenjar dan kanser paru-paru sejak Mac 2024 sebelum bertekad untuk terus ‘bernafas’ demi isteri dan lima cahaya matanya.
Semalam, Cikgu E menerima rawatan ‘dual immunotheraphy’ dengan menyatakan beliau tidak menerima lawatan ziarah kecuali ahli keluarga terdekat serta yang sudah membuat temu janji sahaja.
Beliau dilaporkan menerima rawatan untuk membantu memerangi kanser dalam sistem imun itu selepas dimasukkan ke sebuah hospital swasta di sini sejak beberapa hari lalu.
Susulan itu bapa kepada tiga anak perempuan dan dua lelaki berusia antara lapan hingga 19 tahun itu, dilapor hanya mampu menghabiskan masanya 24 jam dalam keadaan duduk serta bergantung kepada bantuan oksigen.
Allahyarham Nassry yang sebelum ini seorang atlet dan pelari maraton memerlukan dana kira-kira RM200,000 bagi menampung kos rawatan double immunotherapy yang dianggarkan melebihi RM500,000, selepas perlindungan takaful sedia ada sebanyak RM300,000 tidak mencukupi. – MalaysiaGazette
















